Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

11) PROGRAM JOM SHOPPING

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Program Jom Shopping sukar dilaksanakan kerana syarat-syarat yang ketat dan cara perlaksanaan yang menyusahkan rakyat. Apakah pembaikan yang akan dirancang oleh Kerajaan Negeri?

    Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan atau lebih dikenali sebagai Program Jom Shopping merupakan program bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri secara tahunan sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Program ini bermatlamat meringankan bebanan keluarga yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut perayaan. Melalui program ini, setiap keluarga yang kurang berkemampuan berpeluang membuat pembelian barangan keperluan bernilai RM100 di pasar raya terpilih bersempena tiga (3) perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali. Dengan peruntukan berjumlah RM8.4 juta dan sasaran tahunan seramai 84,000 orang penerima manfaat.
    Dengan kekangan kewangan yang terhad, peruntukan yang sedia ada perlulah dibahagikan dengan adil dan saksama. Bagi Program Jom Shopping, setiap DUN akan menerima sejumlah baucar di antara 300 unit hingga 800 unit mengikut kepada kepadatan pengundi di sesuatu DUN berkenaan. Oleh yang demikian, sejak tahun 2013 hingga 2018 beberapa kriteria penerima manfaat telah ditambahbaik dan kriteria-kriterianya adalah seperti berikut:-
    i) Penerima bantuan adalah masyarakat yang menyambut perayaan berkenaan;
    ii) Penerima bantuan mestilah mempunyai pendapatan seisi rumah RM1,500.00 dan ke bawah;
    iii) Penerima bantuan mestilah pengundi berdaftar di DUN berkenaan;
    iv) Hanya seorang penerima bantuan sahaja yang layak menerima baucar bagi setiap keluarga; dan
    v) Penerima bantuan bukanlah penerima manfaat di bawah Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

  2. Adakah kerajaan akan menimbangkan cara mengagihkan kupon beli-belah kepada rakyat sebaik sahaja mereka berjaya membuat pendaftaran?

    Pada tahun 2012, bantuan berbentuk hamper telah diperkenalkan khusus untuk membantu mengurangkan beban golongan miskin dalam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali. Namun dengan cara pengagihan hamper selepas pemohon membuat pendaftaran, banyak permasalahan telah dikenalpasti. Antaranya adalah permasalahan dari segi penghantaran, ruang penyimpanan Pusat Khidmat DUN yang terhad, prosedur pendaftaran yang tidak teratur dan tiada kriteria khusus yang ditetapkan. Oleh yang demikian, pada tahun 2013 Kerajaan Negeri telah membuat penyamarataan dengan mewujudkan bantuan perayaan khusus kepada masyarakat Cina yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina. Dalam memastikan ketelusan dalam menyalurkan bantuan, Kerajaan Negeri telah menetapkan prosedur baharu di mana penerima bantuan perlu mendaftarkan diri di Pusat Khidmat DUN dan penerima yang layak serta mengikut kriteria yang telah ditetapkan akan membuat pembelian barangan di dalam bentuk baucar di pasar raya yang terpilih. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri melihat prosedur dan kriteria semasa yang telah ditetapkan adalah cara pelaksanaan yang terbaik pada masa ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.