Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017
283) PROGRAM INTERVENSI AWAL
Tahun: 2017
Sesi: 1
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan statistik kanak-kanak yang berkeperluan khas di Selangor mengikut bangsa.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, berikut adalah statistik kanak- kanak yang berkeperluan khas di Selangor mengikut bangsa :
BIL ETNIK JUMLAH 1 MELAYU 12,887 2 CINA 2,979 3 INDIA 1,743 4 PRIBUMI SEMENANJUNG 149 5 PRIBUMI SABAH 70 6 PRIBUMI SARAWAK 52 7 LAIN-LAIN 118 JUMLAH 17,998 -
Nyatakan perancangan Kerajaan Negei dari peruntukan untuk pembangunan program ini.
Program Intervensi Awal Kanak-kanak (Early Intervention Programme – EIP) adalah dikhususkan kepada kanak-kanak yang berkeperluan khas dan yang telah dikenalpasti mengalami kelambatan atau ketidakupayaan dari sudut perkembangan kanak-kanak. Melalui program ini, pelbagai jenis pendidikan dan terapi seperti physiotherapy, occupational therapy, speech therapy dan hydrotherapy akan disediakan bagi membantu kanak-kanak ini beradaptasi dalam masyarakat tanpa rasa tersisih dengan kebolehan dan potensi yang terdapat pada diri mereka.
Sehubungan itu, melalui ucapan Pembentangan Belanjawan 2017 yang diumumkan pada 30 Oktober 2016 yang lalu, Kerajaan Negeri telah menyediakan sejumlah RM3 juta sebagai suntikan kepada institusi atau badan kebajikan yang menjalankan Early Intervention Programme (EIP) di Negeri Selangor. Tujuan peruntukan tersebut adalah menyediakan keperluan dan kemudahan pendidikan kepada kanak-kanak yang berkeperluan khas ini di samping dapat membantu ibu bapa mengambil langkah awal untuk mengelakkan berlakunya masalah sampingan pada keadaan fizikal anak-anak mereka di masa akan datang.
-
Apakah rangka kerjasama yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk menarik kerjasama pihak luar bagi meningkatkan keterlibatan sosial masyarakat luar?
Kerajaan Negeri senantiasa mengalu-alukan serta memerlukan kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan pembangunan dan kebajikan kanak-kanak yang berkeperluan khas di Negeri Selangor terpelihara dan menjamin masa depan yang lebih baik.
Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan merangka sebuah program dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya pusat-pusat intervensi awal, badan bukan kerajaan (NGO), hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta ibubapa yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas bagi memberikan pendedahan, kempen dan penerangan akan kepentingan kerjasama semua pihak dalam membantu golongan ini.
Disamping itu juga, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM3 juta untuk membantu institusi dan badan kebajikan yang menjalankan program intervensi awal termasuk program yang menyediakan pendidikan dan pelbagai jenis terapi seperti fisioterapi, occupational therapy, speech therapy dan hydrotherapy. Dengan kaedah ini, pelbagai institusi dan badan kebajikan berkaitan dapat menerima manfaat yang secara tidak langsung diharapkan dapat membantu agar lebih ramai ibubapa dapat menghantar anak-anak mereka ke institusi tersebut demi pendidikan dan pembelajaran kanak-kanak tersebut.