Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
250) PROGRAM INTEGRATED RIVER BASIN MANAGEMENT (IRBM)
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sejauhmanakah perjalanan program Integrated River Basin Management (IRBM) terhadap lembangan-lembangan sungai di Selangor kini?
Integrated River Basin Management (IRBM) di Negeri Selangor dilaksanakan untuk menguruskan sumber semulajadi secara mampan bagi keperluan masa hadapan dengan penglibatan semua pihak yang berkepentingan melalui pendekatan secara bersepadu tanpa mengira sempadan pentadbiran dan sektor. Pembangunan Pelan IRBM adalah bagi memastikan pengurusan sumber air dilaksanakan secara holistik dengan mengambil kira faedah sosio ekonomi bagi sumber air secara mapan dan pada masa yang sama memulihara dan mengembalikan semula ekosistem semulajadi sumber air.
Berdasarkan peruntukan Seksyen 46(a), Enakmen LUAS 1999, LUAS bertanggungjawab menyediakan Pelan Pengurusan Bersepadu (IRBM) Lembangan Sungai sebagai panduan dan rujukan penting di dalam perancangan dan pengurusan sumber air dan lembangan sungai di Negeri Selangor keseluruhannya.
Pelaksanaan Pelan IRBM ini juga adalah selaras dengan pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi Teras 3: Kelestarian yang melibatkan Bidang Tumpuan Pengurusan Air iaitu PPI : FA2-9 Kajian Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) yang holistik untuk keterjaminan air/water security bagi jangka masa panjang berkaitan dengan perubahan iklim. LUAS telah mengambil inisiatif menyediakan Pelan Pengurusan Bersepadu (IRBM) Lembangan Sungai bagi tiga (3) lembangan sungai utama Negeri Selangor dan statusnya adalah seperti berikut:
- Pelan Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai Selangor (2022 – 2030) merangkumi dua puluh sembilan (29) strategi bagi empat (4) Polisi utama yang telah digariskan seperti berikut:
- Polisi 1 : Memastikan Air Mencukupi;
- Polisi 2 : Memastikan Air Bersih;
- Polisi 3 : Perlindungan daripada Banjir; dan
- Polisi 4 : Pemuliharaan kelip-kelip dan ekosistem.
- Pelan Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai Langat (2022 – 2030) telah mula diguna pakai pada 2022 dengan melibatkan tujuh belas (17) strategi bagi empat (4) Polisi utama yang telah digariskan seperti berikut:
- Polisi 1 : Memastikan Air Mencukupi;
- Polisi 2 : Memastikan Air Bersih;
- Polisi 3 : Perlindungan daripada Banjir; dan
- Polisi 4 : Fasiliti Navigasi Jalan Air Pedalaman.
- Pelan Pengurusan Bersepadu (IRBM) Lembangan Sungai Klang (2022 – 2030) telah mula diguna pakai pada 2023 dengan melibatkan dua puluh (20) strategi-strategi bagi empat (4) Polisi utama yang telah digariskan seperti berikut:
- Polisi 1 : Memastikan Air Mencukupi;
- Polisi 2 : Memastikan Air Bersih;
- Polisi 3 : Perlindungan daripada Banjir; dan
- Polisi 4 : Pemuliharaan Alam Sekitar.
LUAS juga telah mewartakan Peraturan-Peraturan Pelan Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai Langat 2019 (Sel. P.U. 14), Lembangan Sungai Selangor 2019 (Sel. P.U. 15) dan Peraturan-Peraturan Pelan Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai Klang 2019 (Sel. P.U. 16) pada 2 April 2019 selaras seksyen 46 dan seksyen 127, Enakmen LUAS 1999 yang turut melibatkan penubuhan Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Pelan Pengurusan Bersepadu (IRBM) Sungai Langat, Sungai Selangor dan Sungai Klang bagi memperkukuhkan lagi pelaksanaan pemantauan merangkumi bidang kuasa yang telah ditetapkan.
Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Pelan Pengurusan Bersepadu Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang merupakan sub-Jawatankuasa di bawah Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor dan bersidang satu (1) kali setahun dipengerusikan Pengarah LUAS dan dianggotai agensi teknikal berkaitan, Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak berkepentingan bagi memantau pelaksanaan Pelan Tindakan IRBM.
Pelan IRBM menjadi dokumen rujukan bagi perancangan pembangunan yang lestari di Negeri Selangor dimana sebarang penyelarasan berkaitan urusan berkaitan tanah seperti permohonan tanah, tukar syarat, pecah bahagian dan pencantuman, kelulusan pelan-pelan pembangunan seperti Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Kerja Tanah serta proses-proses kelulusan lesen perniagaan Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah selari dengan polisi-polisi dalam Pelan IRBM. Ini adalah sebagai tindakan kawalan di peringkat perancangan di mana perkara – perkara berkaitan perlu dirujuk kepada LUAS untuk ulasan sebelum sebarang keputusan diberikan bagi memastikan perlindungan sumber air Negeri Selangor.
Kerjasama LUAS bersama dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia yang telah membangunkan Pelan IRBM Sungai Buloh (2021) dan kini sedang membangunkan Pelan IRBM Sungai Bernam, Pelan IRBM Sungai Tengi, Pelan IRBM Sungai Sepang dalam memastikan tujuh (7) lembangan sungai utama Negeri Selangor telah mempunyai Pelan IRBM untuk pelaksanaan pengurusan sumber air yang holistik.