Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

112) PROGRAM IMUNITI KELOMPOK DI TURKI

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Turki berjaya mencapai imuniti kelompok tercepat. Ini dilakukan dengan adanya khidmat vaksinasi bergerak, kawalan pergerakan dan perintah berkurung. Apakah faktor-faktor ini boleh dipertimbangkan untuk Negeri Selangor?

    Soalan ini dijawab bersekali dengan soalan dari Hulu Kelang (N18) No.111 (a). Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha dalam melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif dalam memastikan penularan pandemik COVID-19 dapat dikawal terutamanya di Negeri Selangor. Sejak daripada penularan pandemik ini pada awal tahun 2020, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah yang proaktif dan efektif selaras dengan saranan oleh World Health Organization (WHO). Ini termasuklah penubuhan Selangor Task Force COVID-19 (STFC) dalam memberi nasihat dan panduan dalam mengawal penularan COVID-19 seperti pelaksanaan ujian saringan komuniti dan pembangunan aplikasi SELANGKAH bagi tujuan contact tracing.

    Kerajaan Negeri juga menyedari bahawa langkah ke arah mencapai imuniti kelompok merupakan antara salah satu cara bagi membolehkan aktiviti ekonomi dan sosial dapat dibuka semula. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Vaksin Selangor (SELVAX) dalam mempercepatkan kadar vaksinasi di negeri ini. SELVAX yang melengkapi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terbahagi kepada SELVAX Komuniti dan SELVAX Industri. Kerajaan Negeri melalui SELGATE juga dalam perancangan bagi melaksanakan vaksinasi secara bergerak (mobile) di bawah program SELVAX bagi golongan yang mengalami keciciran dan menghadapi kekangan dari segi akses ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berhampiran.

    Berkait peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan kepada rakyat, ia merupakan di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN). Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa memberi cadangan dan pendapat di dalam Mesyuarat MKN demi kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.