Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

98) PROGRAM “I WANT TO TOUCH A DOG”

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: hal ehwal islam

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Terdapat kekeliruan yang menyatakan MAIS memberi kebenaran dan dinafikan oleh SS Dato' Mufti negeri Selangor. Terangkan apakah sebenarnya yang berlaku.

    Persoalan ini telah pun dijelaskan oleh pihak MAIS menerusi kenyataan akhbar rasmi MAIS pada 21 Oktober 2014 di mana tiada kebenaran bertulis diberikan oleh pihak MAIS mengenai penganjuran program

     

    Jelasnya, pihak penganjur, melalui surat bertarikh 3 Oktober 2014 yang telah dialamatkan kepada Pengerusi MAIS, telah memohon kebenaran penganjuran program ‘I Want To Touch A Dog’. Surat tersebut telah dipanjang ke Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) untuk ulasan.

     

    Bagi menjawab kandungan surat tersebut, JMNS telah mengeluarkan surat bertarikh 9 Oktober 2014 kepada Pengerusi MAIS bagi menerangkan hukum hakam pengendalian anjing menurut perspektif Islam. Pemakluman mengenai hukum hakam tersebut kemudiannya telah disampaikan kepada pihak penganjur.

     

    Bagaimanapun, amatlah dikesali apabila program yang dijalankan tidak sepertimana yang digambarkan oleh penganjur serta tidak menepati objektif asal penganjuran seperti yang disebut dalam surat permohonan penganjur iaitu untuk memberi pencerahan atau kefahaman tentang hukum berkaitan kedudukan anjing daripada segi perspektif Islam terutamanya mengenai persepsi sebenar kepada umat Islam tentang keperluan untuk menyelamatkan anjing dalam situasi kecemasan seperti kesakitan atau terbiar, keadaan bagaimana yang mengharuskan orang Islam menjadikan anjing, kaedah menyamak apabila ada berlaku sentuhan dalam keadaan lembap dengan anjing dan kaedah serta dan penggunaan sabun yang dibuat dari tanah liat bagi tujuan penyucian

     

  2. Apakah langkah-langkah yang diambil bagi mempastikan perkara seumpama ini tidak berulang lagi.

    Pada 25 Oktober 2014, penganjur program telah mengadakan sidang media bagi menjelaskan isu berbangkit berhubung penganjuran program berkenaan dan mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada semua pihak dan masyarakat.

  3. Adakah sebarang tindakan diambil ke atas penganjur.

    Pada 21 Oktober 2014, seramai empat (4) orang penganjur program telah hadir ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk tujuan siasatan di bawah Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor)

     

    Setelah meneliti keterangan-keterangan pihak penganjur. Bahagian Penguatkuasaan JAIS telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan siasatan

Lampiran

Tiada Lampiran.