Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

82) PROGRAM DIPLOMA EKSEKUTIF PEMBANGUNAN BELIA

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan negeri dalam memastikan sumber dapat menyumbang dalam pentadbiran terutama dalam berkaitan belia?

    Kerajaan Negeri dapat melahirkan lebih ramai para pemimpin dan pegawai belia yang lebih berpengetahuan melalui Program Diploma Eksekutif Pembangunan untuk mendalami bidang teras Pembangunan Belia iaitu Pendidikan Belia, Latihan dan Pembangunan, Pembangunan Organisasi serta Pembangunan Kerjaya dalam membangunkan belia secara optimum memastikan sumber dapat menyumbang dalam pembangunan Negeri.

    Seterusnya, graduan-graduan ini berpeluang untuk menjawat jawatan yang lebih selesa serta berkemahiran dalam merancang, melaksana dan menilai program-program pembangunan belia di peringkat komuniti dan sekaligus mereka dapat memanfaatkan kepakaran mereka ke arah pengurusan pentadbiran yang mantap sebagai penggerak belia pada masa akan datang.

  2. Adakah program diploma ini akan berterusan untuk kumpulan kedua dan seterusnya?

    Program Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan Eksekutif bagi kumpulan pertama ini adalah merupakan “Pilot Projek” di mana penilaian keberkesanan program ini dibuat berdasarkan kumpulan pertama Sekiranya program ini berjalan dan mencapai objektif yang telah dirancangkan, program ini akan diteruskan untuk kumpulan kedua dan seterusnya bergantung kepada peruntukan kewangan yang diluluskan.

  3. Adakah sebarang pemantauan dan bantuan selain dari yuran untuk membantu kumpulan pelajar pertama ini?

    Kerajaan Negeri telah menyediakan bantuan dalam bentuk pembiayaan yuran pengajian kepada pelajar yang telah terpilih untuk mengikuti Program Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan Eksekutif tersebut. Seterusnya, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk membuat pemantauan kemajuan pelajar-pelajar yang mengikuti Program Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan Eksekutif. Di samping itu, Pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) juga akan memberi salinan keputusan peperiksaan setiap semester kepada Kerajaan Negeri sebagai salah satu pemantauan kepada pelajar-pelajar tersebut.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.