Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

49) PROGRAM BLUEPRINT PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah terkini penerima bantuan tersebut mengikut DUN dan nyatakan jumlah penerima bantuan yang gagal mencapai tahap yang ditetapkan Kerajaan Negeri?

    Sepertimana semua sedia maklum, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan merupakan salah satu daripada usaha Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Program ini bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan/ peningkatan pendapatan bagi golongan masyarakat/ individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan.

     

    Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan adalah program bantuan yang dilaksanakan mengikut daerah di mana borang permohonan perlu dikemukakan ke Pejabat Daerah/ Tanah untuk diproses. Berdasarkan rekod, jumlah permohonan yang diluluskan dan telah berjaya menerima mesin/ peralatan bagi tahun 2019 adalah seramai 422 orang. Ia melibatkan peruntukan yang telah disalurkan ke sembilan buah daerah sebanyak RM1,613,750.00 (Satu Juta, Enam Ratus Tiga Belas Ribu, Tujuh Ratus Lima Puluh Ringgit).

     

     

    Manakala jumlah penerima bantuan yang lulus dan gagal bagi  tahun 2019 mengikut daerah adalah seperti berikut :-

     

    BIL. DAERAH JUMLAH PERMOHONAN LULUS JUMLAH PERMOHONAN GAGAL JUMLAH KESELURUHAN PEMOHON
    1 GOMBAK 20 24 44
    2 HULU SELANGOR 46 20 66
    3 KUALA LANGAT 58 21 79
    4 HULU LANGAT 48 32 80
    5 KLANG 32 7 39
    6 KUALA SELANGOR 29 13 42
    7 PETALING 16 5 21
    8 SABAK BERNAM 75 46 121
    9 SEPANG 98 32 130
    JUMLAH 422 200  
    JUMLAH KESELURUHAN  PERMOHONAN 622

     

    Sumber : Database, Seksyen Sektoral UPEN sehingga Oktober 2019

  2. Berapa lamakah masa yang diambil untuk meluluskan sesuatu permohonan?

    Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Program Bantuan Bleuprint Pembasmian Kemiskinan akan dilaksanakan sebanyak dua (2) kali setahun iaitu pada bulan Februari dan bulan Julai.  Namun begitu, pemilihan kali kedua adalah tertakluk kepada baki peruntukan sedia ada. Berhubung dengan berapa tempoh masa yang diambil untuk meluluskan sesuatu permohonan, Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri berpegang kepada Piagam Pelanggan iaitu memproses permohonan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan (dokumen lengkap) di dalam tempoh 3 bulan. Untuk makluman Y.B, Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan kali pertama tahun 2019 untuk sembilan (9) buah daerah telah diadakan pada 11 Februari hingga 22 Februari 2019 dan waran peruntukan bagi pembelian peralatan/ mesin telah disalurkan kepada Pejabat Daerah/ Tanah bermula pada 26 Mac hingga 18 Mei 2019 selaras dengan tempoh piagam pelanggan tersebut.

     

    Untuk makluman Yang Berhormat, proses untuk meluluskan permohonan bagi program ini dilakukan dengan begitu terperinci dan telus. Ianya adalah untuk memastikan pemohon yang bakal menerima bantuan ini adalah dari kalangan rakyat yang benar-benar layak sahaja. Bermula dengan proses siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Daerah/ Tanah, satu kertas kerja lengkap akan dibentangkan oleh Pejabat/ Daerah Tanah ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan untuk dipertimbangkan. Selepas itu, Seksyen Sektoral perlu meneliti satu persatu borang permohanan termasuklah dengan menelefon setiap pemohon bagi membuat pengesahan peralatan/ mesin yang dipohon, menyemak dokumen sokongan di borang permohonan, meneliti setiap anggaran harga peralatan/ mesin dan memasukkan setiap data permohonan ke dalam sistem pangkalan data sebelum satu kertas kelulusan disediakan bagi penyaluran waran ke Pejabat Daerah/ Tanah untuk proses pembelian peralatan/ mesin. Segala proses tersebut adalah rumit dan terperinci namun ianya adalah satu keperluan dalam memastikan setiap permohonan diproses mengikut tatacara yang lengkap sejajar dengan objektif dan sasaran program bantuan ini.

  3. Adakah peruntukan akan ditambah bagi program ini bagi tahun 2020?

    Berhubung dengan persoalan adakah peruntukan Program Bantuan Bleuprint Pembasmian Kemiskinan akan ditambah pada tahun 2020, Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi sentiasa mengharapkan agar peruntukan tahunan sebanyak RM2 juta ini ditambah memandangkan saban tahun semakin banyak permohonan yang diterima tambahan pula dengan kenaikan kos peralatan/ mesin.

    Selain daripada itu, bermula pada tahun 2020 Jawatankuasa ini merancang untuk melaksanakan program pengupayaan pendapatan melalui penyediaan kursus kemahiran keusahawanan secara berfasa. Kursus tersebut meliputi aspek pengurusan kewangan, kaedah pemasaran secara online,  pensijilan, pembungkusan produk, penjenamaan dan lain-lain. Ini bagi memastikan penerima-penerima bantuan bersedia untuk meningkatkan pendapatan diri dan perniagaan ke satu tahap yang lebih tinggi serta dapat memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan untuk bergelar usahawan mikro mahupun usahawan Selangor Information Technology And E-Commerce Council (SITEC) di dalam talian pada masa akan datang.

     

    MAKLUMAT TAMBAHAN

     

    Jika terdapat kes-kes terpencil atau khas, sesuatu permohonan itu boleh terus dibawa oleh Pejabat Daerah/ Tanah ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan dari semasa ke semasa untuk dipertimbangkan.

     

    Selain daripada itu, tempoh masa yang diambil untuk meluluskan sesuatu permohonan adalah sekitar tiga bulan iaitu bermula daripada tarikh Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan diadakan sehinggalah tarikh waran peruntukan bagi pembelian peralatan/ mesin disalurkan Pejabat Daerah/ Tanah.

     

    Sehubungan dengan itu, adalah dimakluman juga bahawa proses pembelian peralatan/ mesin ini melibatkan perolehan kewangan tertentu yang kebiasaannya akan memakan masa melebihi tiga bulan. Namun begitu ianya tertakluk kepada proses kewangan yang dilaksanakan oleh setiap pejabat/ Daerah Tanah.

Lampiran

Tiada Lampiran.