Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

140) PROGRAM BLUEPRINT DAN I-SEED

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah prestasi dan kejayaan program Blueprint dan I-SEED setakat ini dan bagaimanakah program ini dapat membantu membasmi kemiskinan?

    Untuk makluman Yang Berhormat Sentosa, sehingga kini Program Bantuan Peralatan Blueprint Pembasmian Kemiskinan ini telah memberi manfaat kepada 5,645 penerima yang terdiri daripada peniaga kecil-kecilan yang berpendapatan rendah. Sepanjang 16 tahun program ini dijalankan sebanyak RM21,168,963.10 telah dibelanjakan dan peruntukan ini digunakan untuk menyediakan peralatan yang diperlukan oleh penerima untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Bagi Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED) pula, telah memberi manfaat kepada 410 penerima dengan jumlah peruntukan yang dibelanjakan sejumlah RM2,311,080.00 semenjak dimulakan pada tahun 2021.

    Dengan bantuan peralatan Blueprint dan I-Seed ini, ramai penerima manfaat telah mampu meningkatkan pendapatan mereka melalui aktiviti ekonomi seperti pertanian, perniagaan kecil, dan penternakan. Program ini juga telah menyumbang kepada pembangunan sosial dengan mengurangkan jurang kemiskinan dan meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan. Secara tidak langsung program Blueprint dan I-Seed ini telah menggalakkan keterlibatan komuniti dalam proses pembasmian kemiskinan serta membina jaringan sokongan di kalangan penerima manfaat. Selain bantuan peralatan, program ini juga memberikan pendidikan dan latihan kepada penerima manfaat tentang cara menggunakan peralatan dengan berkesan, serta pengurusan kewangan dan perniagaan yang baik. Secara keseluruhan, program ini telah memberi impak positif dalam usaha membasmi kemiskinan di Selangor dan membangun masyarakat yang lebih mampan di negeri Selangor.

    Secara keseluruhannya, program Blueprint dan I-Seed ini telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam membantu individu dan keluarga menambahkan pendapatan dan keluar dari kelompok kemiskinan di Selangor. Dengan memberikan sokongan dan bantuan yang tepat, program ini bukan sahaja mampu meningkatkan taraf hidup penerima tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Selangor secara keseluruhan.

Lampiran

Tiada Lampiran.