Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

185) PROGRAM BLUE PRINT MEMBASMI KEMISKINAN

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa banyak bajet peruntukkan blue print di Selangor?

    Soalan (a) dan (b) dijawab bersekali :-

     

    Sepertimana semua sedia maklum, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan merupakan salah satu daripada usaha Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan dan peningkatan pendapatan bagi golongan masyarakat atau individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan. Bermula dari tahun 2008 sehingga kini peruntukan bagi program ini adalah sama iaitu sebanyak RM2 juta setahun. Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi sentiasa mengharapkan agar peruntukan tahunan sebanyak RM2 juta ini ditambah memandangkan saban tahun semakin banyak permohonan yang diterima tambahan pula dengan kenaikan kos peralatan/ mesin.

    Sehubungan dengan itu, untuk makluman Yang Berhormat Jeram, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan adalah program bantuan yang dilaksanakan mengikut daerah di mana borang permohonan perlu dikemukakan ke Pejabat Daerah/ Tanah untuk diproses. Tiada agihan kuota dibuat kepada setiap kawasan ADUN kerana program ini adalah berdasarkan jumlah permohonan yang diterima oleh setiap Pejabat Daerah/ Tanah yang juga berperanan membuat perolehan bagi pembelian peralatan/ mesin serta membantu UPEN, Sektoral membuat pemantauan dan siasatan dari semasa ke semasa. Namun begitu, Jawatankuasa Pembangunan Sosio Ekonomi mengucapkan ribuan terima kasih di atas kerjasama ADUN dalam mempromosikan program ini kepada rakyat di dalam kawasan masing-masing dan golongan sasar yang memerlukan dapat dibantu sewajarnya.

    Untuk makluman yang berhormat lagi, berdasarkan rekod, jumlah permohonan yang diluluskan untuk menerima mesin/ peralatan bagi Fasa 1 tahun 2021 adalah seramai 413 orang yang melibatkan peruntukan yang telah disalurkan ke Pejabat Daerah/ Tanah adalah sebanyak RM1,718,200.00 (Satu Juta, Tujuh Ratus Lapan Belas Ribu, Dua Ratus Ringgit). Untuk daerah Kuala Selangor sahaja, seramai 35 orang telah diluluskan permohonan dengan peruntukan berjumlah RM144,100.00. Manakala untuk Fasa 2, Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan baru sahaja diadakan pada 16 dan 17 Ogos yang lalu dan Jawatankuasa ini akan menggunakan peruntukan yang ada semaksimum mungkin dalam membantu rakyat yang memerlukan terutamanya di dalam situasi pandemik yang sukar ini

  2. Berapa banyak agihan kuota blue print yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada setiap kawasan ADUN?

    Jawapan sama seperti yang di atas (a)

Lampiran

Tiada Lampiran.