Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

5) PROGRAM BLUE PRINT MEMBASMI KEMISKINAN

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah penerima bantuan Blueprint bagi DUN Bukit Melawati;

    Sepertimana semua sedia maklum, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan merupakan salah satu daripada usaha Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Program ini bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan/ peningkatan pendapatan bagi golongan masyarakat/ individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan adalah program bantuan yang dilaksanakan mengikut daerah di mana borang permohonan perlu dikemukakan ke Pejabat Daerah/ Tanah untuk diproses. Berdasarkan rekod, jumlah permohonan yang diluluskan dan telah berjaya menerima mesin/ peralatan bagi daerah Kuala Selangor dari tahun 2012 hingga 2018 Oktober adalah sebanyak 200 orang.

  2. Bagaimanakah prestasi dan kejayaan program Blueprint setakat ini dan bagaimanakah program ini dapat membantu membasmi kemiskinan.

    Pada tahun 2018, satu Kajian Penilaian Impak melibatkan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Dana Usahawan Mikro (DUMS), Program Pinjaman Mikrokredit Perniagaan Hijrah Selangor dan Penggerak Belia Tempatan dalam Pembangunan Generasi Muda Selangor (PeBT) telah dilaksanakan oleh Institut Darul Ehsan (IDE).
    Bagi Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan sejumlah 1171 penerima bantuan telah digunakan sebagai sampel di dalam kajian impak ini. Hasil dapatan kajian tersebut telah menunjukkan bahawa 87% iaitu seramai 1019 daripada 1171 orang penerima bantuan telah berjaya meningkatkan pendapatan selepas menerima bantuan mesin/ peralatan daripada Kerajaan
    Negeri. Manakala hanya 13% iaitu seramai 152 sahaja mencatatkan tiada peningkatan.
    Merujuk kepada Laporan Akhir Kajian Penilaian Impak Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, majoriti responden dari kalangan penerima Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan iaitu 95% bersetuju bahawa bantuan mesin/ peralatan yang diterima telah berjaya membantu meningkatkan pendapatan bulanan mereka.
    Berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan ini, terbukti Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan telah memberikan impak yang positif kepada rakyat selangor khususnya di dalam membasmi kemiskinan.

Lampiran

Tiada Lampiran.