Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

33) PROGRAM BINGKAS DAN KISS

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perbezaan yang paling antara kedua-dua program ini?

    Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor atau BINGKAS sebagai salah satu inisiatif untuk membantu dan memperkasakan keluarga yang berpendapatan rendah. Program ini meluaskan capaian dan menambahbaik Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Program Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (KISS IT) supaya manfaatnya dapat dirasai bukan sahaja golongan ibu sahaja, malah anggota keseluruhan keluarga. Bermula pada 1 Julai 2022, Program KISS dan KISS-IT telah ditamatkan dan ditambahbaik dengan program BINGKAS.

    Perbezaan atau penambahbaikan dari Program KISS kepada BINGKAS adalah seperti berikut:

    • Penerima yang layak akan menikmati manfaat kadar sebanyak RM300.00 setiap bulan, iaitu peningkatan RM100.00 berbanding Program KISS dengan pemberian bulanan sebanyak RM200.00;

     

    • Bilangan penerima di seluruh selangor dinaikkan dari 25,000 penerima kepada 30,000 penerima;

     

    • Syarat kelayakan jumlah pendapatan isi rumah pemohon juga turut dinaikkan dari RM2,000.00 sebulan kepada RM3,000.00 sebulan;

     

    • Kaedah pelaksanaan atau pembayaran adalah secara e-Wallet berbanding penggunaan kad bagi program KISS. Ini adalah selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri dalam menuju Negeri Pintar dan digitalisasi; dan

     

    • Senarai barangan sedia ada bagi program KISS adalah dikekalkan dengan penambahan kategori perihal pendidikan dalam senarai pembelian barang yang dibenarkan bagi Program BINGKAS.
  2. Berapakah jumlah yang di benarkan untuk program tersebut bagi setiap ADUN?

    Kuota bagi program BINGKAS telah dinaikkan kepada 30,000 penerima dengan pecahan kuota kepada setiap DUN adalah berdasarkan jumlah pengundi di kawasan DUN. Bilangan pengundi di DUN adalah ditentukan berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang diwartakan pada 17 Januari 2022. Pembahagian kuota adalah seperti berikut: –

     

    • DUN yang mempunyai bilangan pengundi bawah 50,000 pengundi akan menerima sebanyak 337 kuota penerima;
    • DUN yang mempunyai bilangan pengundi sebanyak 50,001 hingga 75,000 pengundi akan menerima sebanyak 506 kuota penerima;
    • DUN yang mempunyai bilangan pengundi sebanyak 75,001 hingga 100,000 pengundi akan menerima sebanyak 674 kuota penerima; dan
    • DUN yang mempunyai bilangan pengundi melebihi 100,000 pengundi akan menerima sebanyak 843 kuota penerima.

Lampiran

Tiada Lampiran.