Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

36) PROGRAM BASMI KEMISKINAN

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kaedah kerajaan menentukan kadar kemiskinan dalam Negeri Selangor?

    Sistem eKasih adalah Bank Data Kemiskinan Nasional yang telah dibangunkan dan diguna pakai oleh Kerajaan bermula tahun 2008 untuk membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan selain mengintegrasikan data dan maklumat isi rumah di bawah pendapatan garis kemiskinan. Tindakan ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Ogos 2007 dan 31 Oktober 2007.

    Seterusnya, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 November 2021 telah mengesahkan dan bersetuju supaya kemiskinan tegar ditangani melalui Sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih) yang mana dijadikan rujukan tunggal oleh semua agensi pemberi bantuan Persekutuan dan juga Negeri.

    Bagi memastikan kiraan yang tepat dalam menentukan kategori kemiskinan, ICU JPM merujuk kepada jumlah pendapatan per kapita isi rumah (keseluruhan bilangan ahli isi rumah turut diambil kira) yang mana diasaskan kepada formula perkiraan yang disediakan oleh Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah 2022 (Household Income Survey 2022). Berdasarkan kiraan ini, sesebuah isi rumah akan diklasifikasikan kepada kategori “Miskin Tegar atau Miskin” di dalam Sistem eKasih. PGK per kapita semasa (2022) di Negeri Selangor adalah RM343 bagi Miskin Tegar dan RM768 bagi Miskin.

  2. Apakah status terkini jumlah KIR miskin tegar di Negeri Selangor sehingga Mei 2024?

    Sehingga 31 Mei 2024, sebanyak 1,434 KIR berstatus miskin tegar telah direkodkan di dalam sistem eKasih bagi negeri Selangor.

    Maklumat Tambahan

    Bagi tujuan menoktahkan kemiskinan tegar di Negeri Selangor,  data  yang  diguna  pakai  adalah  pada  tarikh 31 Januari 2023 iaitu seramai 7,203 KIR. Data ini telah dikunci sebagai locked figure kumpulan sasar bagi tujuan pelaksanaan dan pemantauan program. Berdasarkan rekod eKasih, Negeri Selangor telah berjaya menoktahkan kemiskinan tegar locked figure sepertimana yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri.

  3. Agensi manakah yang menentukan KIR masuk dalam golongan miskin tegar?

    Kerajaan telah membangunkan Sistem eKasih sebagai satu pangkalan data kemiskinan nasional yang bertujuan untuk mendaftarkan golongan miskin di Malaysia dan mengklasifikasikan kepada kategori Miskin Tegar atau Miskin berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa melalui proses verifikasi di lapangan. Kriteria penetapan kategori kemiskinan bergantung kepada jumlah pendapatan perkapita isi rumah dan berasaskan kepada formula perkiraan yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan juga Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah 2022 ataupun Household Income Survey 2022 seperti di bawah.

    Data ekasih dikumpul melalui pendaftaran KIR dan bancian yang dijalankan oleh pembanci yang dilantik oleh ICU Selangor dan ditempatkan di setiap daerah. Sistem ini juga dijadikan rujukan oleh Kementerian dan Agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam program pembasmian kemiskinan. Agensi yang terlibat dalam menentukan KIR termasuk dalam kategori miskin dan miskin tegar adalah ICU JPM dan di Negeri Selangor dibawah Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU Selangor).

Lampiran

Tiada Lampiran.