Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
66) PROGRAM BANTUAN SKIM FOODSTAMP KEPADA KELUARGA BAWAH PENDAPATAN RENDAH
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah bentuk barangan menepati keperluan makanan asas berkhasiat penerima?
Melalui Program ‘Smart Selangor Food Stamp’ , Kerajaan Negeri telah menyediakan keperluan makanan asas iaitu 10 kg beras, 1 kg gula, 2 kg minyak masak, 400 gram bihun dan 2 tin susu pekat manis kepada keluarga yang termiskin dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Dengan ini, Kerajaan Negeri dapat membantu keluarga miskin dari seluruh Negeri Selangor yang lebih memerlukan bantuan makanan asas serta membantu meringankan kos sara hidup yang kian meningkat. Kerajaan Negeri juga akan sentiasa memastikan kualiti bekalan barangan makanan asas bagi program ini berada di dalam keadaan yang baik dan sempurna.
Sebagai makluman Ahli Yang Berhormat, pemberian baucar telah disediakan melalui Program Jom Shopping yang merupakan bantuan sempena menyambut perayaan mengikut kaum kepada keluarga yang telah dikenalpasti oleh pihak DUN. Melalui program ini, penerima diberikan kebebasan untuk memilih barang-barang yang diperlukan sebagai persediaan menyambut perayaan masing-masing dipasaraya terpilih.
Pemberian barangan makanan asas secara fizikal ini juga sedikit sebanyak membantu rakyat Selangor dari kalangan keluarga yang miskin kerana program ini merupakan penjimatan dan jaminan kepada mereka untuk menerima bantuan makanan asas secara bulanan. Oleh yang demikian, mereka dapat menggunakan gaji yang diterima bagi bulan tersebut untuk memenuhi keperluan lain.
Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan Ahli Yang Berhormat untuk menaikkan kadar bantuan kepada RM100.00 kepada setiap keluarga yang layak. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, buat masa ini nilai kadar bantuan yang diberikan melalui program ini adalah sebanyak RM50.00 kepada setiap keluarga supaya lebih ramai penerima yang dapat menerima manfaat yang disediakan oleh Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, cadangan ini boleh dipertimbangkan dan perlu diteliti kerana ianya akan melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada Kerajaan Negeri.
-
Bolehkah dipermudahkan pemberian ini kepada bentuk baucar bulanan?
Sama seperti di SUB(a)
-
Bolehkah nilai bantuan dinaikkan kepada minima RM100?
Sama seperti di SUB(a)