Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

31) PROGRAM BANTUAN BLUEPRINT PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan secara terperinci hasil kajian berkaitan program bantuan blueprint pembasmian kemiskian sepanjang tahun 2021?

    Berhubung dengan pertanyaan Yang Berhormat Semenyih, Jawatankuasa Pembangunan Sosio Ekonomi tidak ada melaksanakan kajian terperinci berkenaan Program Bantuan Blueprint pada tahun 2021. Namun, satu Kajian Penilaian Impak telah dilaksanakan pada tahun 2018 oleh Institut Darul Ehsan (IDE) dan merujuk kepada Laporan Akhir Kajian Penilaian Impak Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan tersebut, majoriti responden dari kalangan penerima Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan iaitu 95% daripada sejumlah 1171 sampel penerima bantuan bersetuju bahawa bantuan mesin/ peralatan yang diterima telah berjaya membantu meningkatkan pendapatan bulanan mereka.

  2. Nyatakan jumlah penerima bantuan dan kos bantuan yang telah diberikan mengikut dun?

    Untuk makluman Yang Berhormat Semenyih, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan adalah program bantuan yang dilaksanakan mengikut daerah di mana borang permohonan perlu dikemukakan ke Pejabat Daerah/ Tanah untuk diproses dan disiasat sebelum dibawa masuk ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan. Malah, Pejabat Daerah/ Tanah juga berperanan membuat perolehan bagi pembelian peralatan atau mesin. Sehubungan dengan itu, tiada perincian data penerima mengikut ADUN kerana program ini adalah berdasarkan jumlah permohonan yang diterima oleh setiap Pejabat Daerah/ Tanah.

    Berdasarkan rekod dari tahun 2016 sehingga tahun 2021, jumlah keseluruhan penerima manfaat bagi program ini adalah seramai 2,642 orang dengan jumlah peruntukan keseluruhan yang telah dibelanjakan adalah sebanyak RM10,013,800 (Sepuluh Juta, Tiga Belas Ribu, Lapan Ratus Ringgit). Bagi daerah Hulu Langat sahaja, seramai 212 orang telah diluluskan permohonan dengan peruntukan sebanyak RM902,450.00.

Lampiran

Tiada Lampiran.