Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
235) PROGRAM ANAK SELANGOR SIHAT
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan terperinci pihak Kerajaan Negeri dalam memastikan golongan sasaran bagi program Anak Selangor Sihat (ASAS) mendapat manfaat program dan adakah kajian terperinci masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di Selangor ada dijalankan?
Kanak-kanak merupakan golongan yang perlu diberikan perhatian yang penuh, baik daripada aspek pendidikan, kebajikan dan juga kesihatan. Ini kerana golongan ini merupakan generasi yang akan mengemudi negara kita pada masa hadapan. Justeru itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) pada tahun 2021 bagi membantu kanak-kanak yang mengalami masalah kekurangan zat makanan mendapat nutrisi makanan yang mencukupi.
Golongan sasaran bagi Program ASAS adalah kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke bawah yang mengalami masalah kekurangan zat makanan (KZM) dan terdiri di kalangan miskin bandar. Kerajaan Negeri dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan seperti Pusat Khidmat Masyarakat, Ahli Majlis dan Ketua Komuniti bagi mengenal pasti kanak-kanak yang memenuhi syarat yang ditetapkan memandangkan mereka merupakan kumpulan yang paling rapat dan sentiasa bersama dengan rakyat di kawasan mereka.
Kanak-kanak tersebut kemudiannya akan diberikan bakul makanan yang mengandungi multivitamin, susu formula dan bijirin dan tahap perkembangan mereka akan dipantau secara berkala oleh pakar melalui aplikasi SELANGKAH. Sepanjang pelaksanaannya bermula pada tahun 2021, terdapat seramai lebih daripada 1,500 kanak-kanak telah menerima manfaat daripada program ini.
Berhubung dengan pertanyaan Yang Berhormat berkenaan jika terdapat kajian masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak di Selangor, buat masa ini tiada kajian khusus berkenaan perkara tersebut di peringkat Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan melalui Institut Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerbitkan National Health and Morbidity Study (NHMS) Maternal and Child Health Tahun 2022 yang turut mengandungi kajian masalah nutrisi di kalangan kanak-kanak di Malaysia.