Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
18 Mac 2019 - 25 Mac 2019
187) PROGRAM 3W (WOMEN, WELFARE, WELLNESS)
Tahun: 2019
Sesi: 1
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah matlamat Program 3W (Women, Welfare, Wellness)?
- Karnival Wellness, Welfare & Women (3W) adalah penambahbaikkan kepada Karnival Sihat Selangor (KSS) yang yang telah dilaksanakan sejak tahun 2014. Karnival 3W ini menggabungkan ketiga-tiga portfolio di bawah YB Dr Siti Mariah Binti Mahmud iaitu Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga.
Objektif utama karnival 3W adalah untuk mengumpul, menyampai dan menyebar maklumat berkaitan program dan aktiviti yang sedang dilaksanakan oleh agensi kerajaan negeri dan persekutuan terutama program di bawah Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan dan Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor.
Karnival 3W turut membudayakan amalan gaya hidup sihat dengan mendapat maklumat penjagaan kesihatan sebelum mendapat risiko penyakit. Dalam masa yang sama ia memberi peluang kepada masyarakat untuk yang mengetahui kemudahan kebajikan yang ditawarkan kepada golongan yang layak serta menggalakkan penglibatan kaum wanita sebagai ratu di dalam keluarga memastikan kesihatan keluarga di tahap yang baik.
Untuk makluman Yang Berhormat, Karnival 3W ini akan dilaksanakan bersama Pihak Berkuasa Tempatan pada setiap bulan. Setiap Karnival telah ditetapkan tema-tema sambutan di peringkat negeri dan juga melibatkan hampir 20 jabatan dan agensi negeri dan persekutuan yang berkaitan kesihatan, kebajikan, wanita dan keluarga di negeri Selangor seperti berikut:
- Jabatan Kesihatan Negeri & Daerah (JKNS);
- Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri & Daerah (JKM);
- Jabatan Pembangunan Wanita Negeri (JPW);
- Jabatan Pendidikan Negeri dan Daerah (JPN);
- Jabatan Kehakiman Syariah Negeri & Daerah (JAKESS);
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Daerah;
- Polis di Raja Malaysia Negeri dan Daerah (PDRM);
- Pejabat Daerah dan Tanah (PDT);
- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
- Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN);
- Pusat Wanita Berdaya (PWB);
- Institut Wanita Berdaya (IWB);
- Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS);
- Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK);
- Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS);
- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP);
- Pusat kaunseling Selangor (PKS);
- Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS) dan
- Jabatan / agensi berkaitan.
Ketua pimpinan bersama masyarakat turut dilibatkan untuk bersama-sama mempromosikan Karnival 3W agar ianya sampai kepada masyarakat secara menyeluruh. Jadual dan tema Karnival adalah seperti berikut:
BIL TARIKH PELAKSANAAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN TEMA 1. 10 FEBRUARI 2019 (AHAD) MPAJ PELANCARAN KARNIVAL 3W/ HARI KANSER SEDUNIA 2. 30 MAC 2019 (SABTU)
MPK HARI WANITA/ HARI BUAH PINGANG 3. 6 APRIL 2019 (SABTU)
MBPJ HARI AUTISME/ HARI TIBI 4. 20 APRIL 2019 (SABTU)
MDKL HARI KESIHATAN SEDUNIA/WANITA ANTI JENAYAH 5. 4 MEI 2019 (SABTU)
MPSP HARI TANPA TEMBAKAU/ HARI JURURAWAT 6. 29 JUN 2019 (SABTU)
MPS HARI SIFAR DENGGI 7. 27 JULAI 2019 (SABTU)
MDKS HARI SUKARELAWAN SELANGOR 8. 24 OGOS 2019 (SABTU)
MBSA HARI PENYUSUAN SUSU IBU 9. 28 SEPTEMBER 2019 (SABTU)
MPKJ HARI JANTUNG 10. 19 OKTOBER 2019 (SABTU)
MPSJ HARI MENTAL/ HARI WARGA EMAS 11. 16 NOVEMBER 2019 (SABTU)
MDSB HARI OKU/ HARI HIV 12. 30 NOVEMBER 2019 (SABTU)
MDHS HARI KANAK-KANAK/ HARI DIABETES -
Apakah keberkesanan dan KPI Program 3W dicapai setakat ini?
- Karnival 3W yang pertama telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor pada 10 Februari 2019 bertempat di Padang Perbandaran Ampang Jaya. Karnival 3W yang pertama ini dirasmikan dan dijayakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya bersempena Hari Kanser Sedunia Peringkat Negeri Selangor dan Hari Tanpa Kenderaan MPAJ. Karnival 3W yang diadakan ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat dengan kerjasama semua pihak terlibat. Jumlah kehadiran pelawat yang direkodkan adalah melebihi 3,000 orang.
Selain itu, Karnival ini juga telah berjaya menarik 20 jabatan dan agensi yang telah menawarkan perkhidmatan seperti berikut:
i.) Pemeriksaan kesihatan dan pemeriksaan gigi
ii.) Saringan Kanser- Papsmear
iii.) Pameran pencegahan Denggi
iv.) Demonstrasi pertolongan cemas
v.) Kaunter Derma Darah
vi.) Kaunter pendaftaran taska dan pusat jagaan
vii.) Kaunter pendaftaran OKU
viii.) Pameran bantuan-bantuan JKM
ix.) Aktiviti keusahawanan wanita (PWB)
x.) Saringan kesihatan menal (DASS)
xi.) Pendaftaran Pertandingan Slim Selangor
xii.) Pendaftaran Mamogram/ MammoSEL
xiii.) Sesi konsultasi bersama kaunselor
Program ini juga telah menarik perhatian peringkat persekutuan dengan penglibatan Yang Berhormat Menteri Kesihatan Malaysia untuk turut sama menjayakan Karnival 3W di Majlis Daerah Kuala Langat dan Yang Berhormat Timbalan Menteri Wanita di Majlis Daerah Klang. Gabungan di peringkat persekutuan dan negeri ini adalah merupakan satu kerjasama yang baik bagi memberi manfaat kepada masyarakat.
-
Berapa jumlah yang diperuntukan oleh Kerajaan Negeri?
Bagi menjayakan Karnival 3W ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sejumlah RM1.2 juta iaitu dengan anggaran kos sebanyak RM100,000.00 bagi setiap Karnival.