Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
179) PRODUK SELANGOR
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha kerajaan untuk menggalakkan pihak kilang atau individu menghasilkan lebih banyak produk yang berkualiti untuk menjadi buah tangan yang mewakili produk Selangor kepada pelancong dari dalam dan luar negara?
Untuk menggalakkan pihak kilang atau individu menghasilkan lebih banyak produk yang berkualiti untuk menjadi buah tangan yang mewakili produk Selangor kepada pelancong dari dalam dan luar negara adalah dengan mengadakan bengkel kemahiran untuk pihak kilang dan individu yang menghasilkan produk buah tangan agar produk yang berkualiti dapat dihasilkan. Tanggungjawab yang telah diambil oleh Tourism Selangor ialah melakukan lawatan produk dan ‘Familiarisation’ (FAM) Tour ke kawasan penghasilan buah tangan agar terdapat pembelian hasil pengeluaran oleh peserta yang terlibat. Tanggungjawab ini secara tidak langsung dapat mempromosikan pelancongan perindustrian melalui program siri promosi di dalam dan di luar negara yang disertai ataupun dianjurkan oleh Tourism Selangor.
Di samping itu, sehingga ke hari ini tiada lagi pusat penjualan cenderahati yang merangkumi merchandise Selangor, produk kraf dan buah tangan agar pengeluar dapat mempamer dan menjualkan hasil mereka kepada pelancong tempatan dan luar negara. Kebanyakkan kilang pemprosesan kraf dan buah tangan mempunyai potensi yang tinggi untuk dibangunkan sektor pelancongan perindustrian yang menarik dan dinamik. Oleh itu, penyediaan dari segi tapak penjualan adalah perlu untuk disediakan kepada pihak pengeluar. Tambahan pula, salah satu usaha Tourism Selangor ialah memasukkan produk/destinasi pelancongan perindustrian ke dalam itinerari pakej-pakej agensi pelancongan. Ini dapat membantu mempromosikan pakej pelancongan berkonsepkan perindustrian yang sedia ada kepada para agensi pelancongan sekali gus pihak pengeluar dapat menghasilkan lebih banyak produk berkualiti untuk menjadi buah tangan.