Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

9) PRESTASI SUKMA SELANGOR 2022

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan penilaian prestasi SUKMA Selangor 2022.

    Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX, MSN 2022 telah berlangsung pada 16 hingga 24 September 2022 yang lalu. Sasaran pingat bagi kontinjen Negeri Selangor pada SUKMA kali ini adalah 40 pingat emas, 40 pingat perak dan 30 pingat gangsa. Keputusan keseluruhan kutipan pingat yang berjaya diperolehi oleh kontingen Negeri Selangor adalah 31 pingat emas, 55 pingat perak dan 44 pingat gangsa. Keseluruhan pingat yang diperolehi adalah sebanyak 130 pingat. Kontinjen Negeri Selangor gagal mencapai sasaran bagi pingat emas iaitu kekurangan sebanyak 9 pingat emas.

     

  2. Apakah yang menyebabkan prestasi SUKMA Selangor jatuh merudum ?

    Pada edisi SUKMA kali ini, prestasi atlet Selangor kurang memberansangkan disebabkan beberapa faktor yang telah dikenalpasti oleh pihak Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS). Antara faktor yang menyebabkan prestasi atlet Selangor kurang memberansangkan pada SUKMA 2022 ini adalah disebabkan antaranya adalah berpunca dari kurangnya stamina atlet.

     

    Masalah stamina atlet ini terjejas apabila atlet tidak dapat menjalankan program latihan dengan rapi seperti sebelum PKP. Sektor sukan merupakan sektor yang sangat terkesan kerana sepanjang PKP tersebut tiada aktiviti sukan yang boleh dijalankan secara fizikal. Atlet tidak dapat menjalani program latihan mengikut periodisasi latihan atlet. Negeri Selangor merupakan antara negeri yang terakhir yang berjaya beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Oktober 2021 tahun lalu.

     

    Program persediaan pasukan diteruskan dengan kaedah bersemuka pada bulan Oktober 2021 setelah Selangor beralih ke Fasa 4 PPN. Namun, pada ketika itu, masih tiada ketetapan berkenaan temasya SUKMA sama ada bakal diadakan ataupun tidak. Walaubagaimanapun, pihak Majlis meneruskan program latihan secara bersemuka bagi mengembalikan semula program latihan yang relevan untuk prestasi tinggi.

     

    Selain itu, faktor kecederaan yang dihadapi oleh atlet juga menyebabkan prestasi mereka kurang memberansangkan pada SUKMA 2022 yang lalu. Meskipun atlet – atlet ini telah diberi rawatan awal, namun kecederaan ini berulang kerana atlet tidak dapat berehat lebih lama kerana kesuntukan masa persediaan ke SUKMA.

     

    Bagi faktor luaran, kurangnya kejohanan yang dianjurkan oleh persatuan kebangsaan. Kejohanan peringkat kebangsaan adalah penting untuk atlet – atlet ini menyertai sebagai pendedahan dan ianya perlu didedahkan kepada atlet – sekurang – kurangnya 5 kali ke kejohanan peringkat kebangsaan dalam tempoh setahun. Kepentingan lain untuk kejohanan pendedahan ini adalah untuk mengukur prestasi atlet dan juga untuk melihat kekuatan pihak lawan. Kebanyakan pasukan Selangor menyertai sebanyak 3 kali kejohanan dan terdapat juga pasukan yang hanya 2 kali sahaja ke kejohanan pendedahan.

     

    Selain daripada itu, tiada had penyertaan kepada atlet kebangsaan juga merupakan salah satu faktor luaran yang tidak memberi kelebihan kepada kontingen Selangor. Peraturan Am SUKMA XX, MSN 2022 dipinda pada SUKMA kali ini dan kepada atlet kebangsaan yang pertama kali mewakili negara di Sukan Sea, sukan Asia dan juga Sukan Komenwel, layak menyertai seberapa banyak acara yang dipertandingkan dalam acara individu. Selain daripada itu, ketidak tetapan penganjuran SUKMA telah menyebabkan program latihan sentiasa berubah – ubah sehinggakan atlet juga ada yang terpaksa menarik diri untuk memberi tumpuan kepada komitmen yang lain. Tambahan pula faktor umur adalah penting untuk diambil kira kerana kebanyakan atlet – atlet Selangor akan melanjutkan pelajaran di peringkat institut pengajian tinggi. Namun, disebabkan masih tiada keputusan berkenaan had umur di peringkat awal, atlet ini telah memilih untuk melanjutkan pelajaran di luar dan juga dalam negara.

     

    Kesan daripada punca – punca ini telah menyebabkan atlet mengalami tekanan terutamanya atlet sasaran. Perkara ini berlaku adalah disebabkan mereka menghadapi pelbagai cabaran untuk meningkatkan prestasi yang terbaik apabila Negeri Selangor berada dalam tempoh PKP dan PPN yang agak lama berbanding negeri – negeri lain. Dan apabila atlet – atlet ini dibenarkan berlatih seperti sediakala, mereka berlatih secara intensif sehingga ada di antara atlet – atlet sasaran ini mengalami kecederaan.

     

    Secara keseluruhannya, walaupun prestasi atlet Selangor dilihat kurang memberansangkan, atlet – atlet ini telah berjuang sehingga ke peringkat akhir namun mereka kalah tipis dan berakhir dengan keputusan pingat perak. Berikut adalah acara yang mendapat pingat perak:

     

Lampiran

Tiada Lampiran.