Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

168) PRESTASI SUKMA NEGERI SELANGOR. SELANGOR DI TANGGA KE 5 DENGAN 31 KUTIPAN PINGAT EMAS DAN TERSASAR DARI SASARAN UNTUK MENJADI JUARA

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah punca utama terhadap kemerosotan ini?

    Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX, MSN 2022 telah berlangsung pada 16 hingga 24 September 2022 yang lalu. Sasaran pingat bagi kontinjen Negeri Selangor pada SUKMA kali ini adalah 40 pingat emas, 40 pingat perak dan 30 pingat gangsa. Keputusan keseluruhan kutipan pingat yang berjaya diperolehi oleh kontingen Negeri Selangor adalah 31 pingat emas, 55 pingat perak dan 44 pingat gangsa. Keseluruhan pingat yang diperolehi adalah sebanyak 130 pingat. Kontinjen Negeri Selangor gagal mencapai sasaran bagi pingat emas iaitu kekurangan sebanyak 9 pingat emas.

     

    Antara punca – punca yang menyebabkan kemerosotan prestasi pasukan SUKMA Selangor pada edisi SUKMA kali ini adalah gangguan pelan periodisasi atlet yang disebabkan oleh pandemik Covid-19. Pandemik Covid-19 yang melanda negara Malaysia telah menyebabkan berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bagi sektor sukan, ianya amat terkesan terutamanya bagi aspek pelan periodisasi latihan atlet. Para jurulatih telah menyusun program persediaan latihan yang sistematik agar atlet – atlet ini mencapai prestasi yang tertinggi apabila di SUKMA. Namun disebabkan pandemik Covid-19, pelan periodisasi ini tidak dapat diikuti dengan baik kerana atlet tidak menjalani latihan secara teknikal yang bersemuka, tidak dapat mengekalkan kecergasan dan pemantauan jurulatih yang amat terhad.

     

    Punca yang lain iaitu kurangnya kejohanan yang dianjurkan oleh                                                                                                                                                                                                               persatuan kebangsaan. Kejohanan peringkat kebangsaan adalah penting untuk atlet – atlet ini menyertai ssebagai pendedahan dan ianya perlu didedahkan kepada atlet – sekurang – kurangnya 5 kali ke kejohanan peringkat kebangsaan dalam tempoh setahun. Kepentingan lain untuk kejohanan pendedahan ini adalah untuk mengukur prestasi atlet dan juga untuk melihat kekuatan pihak lawan. Kebanyakan pasukan Selangor menyertai sebanyak 3 kali kejohanan dan terdapat juga pasukan yang hanya 2 kali sahaja ke kejohanan pendedahan.

     

    Selain daripada itu, ketidak tetapan penganjuran SUKMA telah menyebabkan program latihan berubah – ubah sehinggakan atlet juga ada yang terpaksa menarik diri untuk memberi tumpuan kepada komitmen yang lain. Tambahan pula faktor umur adalah penting untuk diambil kira kerana kebanyakan atlet – atlet Selangor akan melanjutkan pelajaran di peringkat institut pengajian tinggi. Namun, disebabkan masih tiada keputusan berkenaan had umur di peringkat awal, atlet telah memilih untuk melanjutkan pelajaran di luar dan juga dalam negara.

     

    Pihak MSNS berpendapat SUKMA 2022 ini diadakan dalam keadaan yang tergesa – gesa di mana perkara ini tidak pernah berlaku kerana SUKMA merupakan satu penganjuran yang prestij dan sebagai platform yang terbaik untuk semua atlet – atlet prestasi tinggi bertanding dalam keadaan yang telah bersedia semua aspek.

     

    Pindaan syarat pada peraturan SUKMA yang dibuat dalam tempoh yang singkat juga menyebabkan gangguan kepada persiapan atlet Selangor. Antara pindaan adalah berkenaan dengan had umur pemain yang sepatutnya berumur bawah 21 tahun dipinda kepada bawah 23 tahun dan peraturan berkenaan status atlet kebangsaan  yang pertama kali mewakili negara di Sukan Sea, sukan Asia dan juga Sukan Komenwel, layak menyertai seberapa banyak acara yang dipertandingkan dalam acara individu.

     

    Kesan daripada punca – punca ini telah menyebabkan atlet mengalami tekanan terutamanya atlet sasaran. Perkara ini berlaku adalah disebabkan mereka menghadapi pelbagai cabaran untuk meningkatkan prestasi yang terbaik apabila Negeri Selangor berada dalam tempoh PKP dan PPN yang agak lama berbanding negeri – negeri lain. Dan apabila atlet – atlet ini dibenarkan berlatih seperti sediakala, mereka berlatih secara intensif sehingga ada di antara atlet – atlet sasaran ini mengalami kecederaan.

    Secara keseluruhannya, walaupun prestasi atlet Selangor dilihat kurang memberansangkan, atlet – atlet ini telah berjuang sehingga ke peringkat akhir namun mereka kalah tipis dan berakhir dengan keputusan pingat perak. Berikut adalah 9 acara yang disasarkan pingat emas namun berakhir dengan pingat perak:

  2. Apakah perancangan pembangunan sukan Negeri Selangor di masa hadapan?

    Majlis Sukan Negeri Selangor akan mempertingkat dan memperkasakan lagi program pembangunan dari akar umbi dan seterusnya menggilap atlet – atlet ini di peringkat pelapis sebelum mereka dipilih ke peringkat elit negeri.

     

    Program pembangunan yang sedia ada melibatkan 3 lapis program iaitu Bakat, Pelapis dan Elit. Program Pembangunan Sukan di Negeri Selangor bermula di peringkat daerah melalui Program Bakat. Program Bakat yang diwujudkan bagi mencungkil bakat – bakat sukan tertentu di peringkat daerah. Melalui program ini, atlet – atlet yang berpotensi akan mencapai tahap pencapaian prestasi yang ditetapkan akan ditapis ke program Pelapis yang akan memberi tumpuan bagi melahirkan atlet prestasi tinggi dan apabila mencapai tahap pencapaian prestasi yang ditetapkan, mereka akan diletakkan di Program Elit SUKMA.

     

    Pihak Majlis juga merancang untuk berbincang semula dengan Unit Sukan, Jabatan Pendidikan Selangor bagi memperkasakan lagi atlet – atlet kategori bakat di daerah dan juga atlet – atlet yang mewakil Selangor ke Majlis Sukan Sekolah- sekolah Malaysia (MSSM).

     

    Antara perancangan lain juga, pihak Majlis akan mengkaji semula pakej atlet yang baru mengikut kesesuain atlet, potensi, dan juga sasaran pingat emas termasuklah kebajikan dari aspek pendidikan di institut pendidikan tinggi.

     

    Selain daripada itu juga, pihak Majlis akan memperkasakan struktur jurulatih bagi setiap sukan kerana peranan jurulatih adalah sangat besar dalam melahirkan atlet – atlet yang berkualiti.

Lampiran

Tiada Lampiran.