Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
132) PRESTASI SUKMA 2022
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Generasi Muda & Sukan
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah sebab-sebab pencapaian kontinjen Selangor kurang memberangsangkan di dalam SUKMA 2022?
Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX, MSN 2022 telah berlangsung pada 16 hingga 24 September 2022 dimana Kontinjen Negeri Selangor telah memperolehi 31 pingat emas, 55 pingat perak dan 44 pingat gangsa.
Antara faktor yang menyebabkan prestasi atlet Selangor kurang memberansangkan pada SUKMA 2022 ini adalah disebabkan antaranya :-
Pengesahan Penganjuran Kejohanan SUKMA 2022
Pihak Majlis Sukan Negara Malaysia (MSNM) telah memberikan pengesahan penganjuran Kejohanan SUKMA yang akan berlangsung pada bulan September 2022 hanya pada bulan Mei 2022. Pengumuman pelepasan untuk menjalankan aktiviti sukan di negeri Selangor hanya dibenarkan bermula 1 Jun 2022 akibat Pandemik Covid-19. Kontinjen SUKMA Negeri Selangor hanya mempunyai tempoh masa kurang 3 bulan sahaja dalam menyediakan Kontinjen yang terbaik.
Peralihan arahan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP )
Negeri Selangor merupakan negeri yang paling terkesan dalam tempoh pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang tahun 2020 hingga 2022 yang lalu. Berbanding dengan negeri-negeri lain yang tempoh (PKP) yang telah dibenarkan untuk menjalankan aktiviti sukan / riadah. Ini mengakibatkan penyesuaian tempoh masa penyediaan program plan priodisasi dan persiapan pasukan / atlet terganggu.
Pindaan Syarat dan Peraturan penyertaan SUKMA
Tiada had penyertaan kepada atlet kebangsaan juga merupakan salah satu faktor luaran yang tidak memberi kelebihan kepada kontinjen Selangor. Peraturan Am SUKMA XX, MSN 2022 dipinda pada SUKMA kali ini dan kepada atlet kebangsaan yang pernah mewakili negara di Sukan Sea, sukan Asia dan juga Sukan Komanwel, layak menyertai seberapa banyak acara yang dipertandingkan dalam acara individu. Had umur atlet juga telah dinaikan ke bawah 23 tahun berbanding bawah 21 tahun sebelum itu. Malah tiada pengiktirafan rekod diambil kira bagi Kejohanan kali ini.
Faktor kecederaan
Faktor kecederaan yang dihadapi oleh atlet juga menyebabkan prestasi mereka kurang memberangsangkan pada SUKMA 2022 yang lalu. Meskipun atlet telah diberi rawatan awal, namun kecederaan berulang dan tempoh masa yang singkat bagi proses pemulihan sebelum kejohanan SUKMA berlangsung.
Masalah Stamina
Persediaan atlet terjejas apabila terdapat sekatan untuk menjalankan program latihan mengikut periodisasi sepanjang tempoh PKP dilaksanakan. Negeri Selangor merupakan antara negeri yang terakhir beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Oktober 2021.
Penyertaan Kejohanan pendedahan
Kurang penyertaan di kejohanan kompetitif dan latihan yang agak terhad menyebabkan presatasi atlet dan pasukan berada di bawah paras sebenar. Kebanyakan atlet dan pasukan terpaksa berehat dalam tempoh yang panjang apabila tiada sebarang kejohanan dapat dilaksanakan berikutan PKP untuk mengukur prestasi atlet dan juga untuk melihat kekuatan pihak lawan.