Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
43) PRESTASI SIDANG KEMUNCAK PERNIAGAAN ANTARABANGSA SELANGOR (SIBS)
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Pelaburan
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) merupakan satu acara yang sangat penting sebagai platform dalam mengembangkan ilmu dan rantaian perniagaan. Sila nyatakan prestasi SIBS yang terkini dan adakah terdapat sebarang transformasi ke arah lebih maju berbanding SIBS yang lepas?
Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) telah mula dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, menerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian Perdagangan dan Industri Kecil & Sederhana Negeri Selangor dan agensi pelaksana Invest Selangor, pada tahun 2015 dan dikenali sebagai Selangor International Expo. Selepas 2 tahun penganjurannya, ia telah dijenamakan semula sebagai Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (atau Selangor International Business Summit) apabila beberapa program tambahan dianjurkan serentak iaitu Selangor Smart City & Digital Economy Convention dan Selangor ASEAN Business Conference.
SIBS 2022 telah berjaya dianjurkan pada bulan Oktober tahun lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan merangkumi 6 program utama iaitu:
- 8th Selangor International Expo (F&B)
- 8th Selangor International Expo (Medic)
- 2nd Selangor Industrial Park Expo
- 6th Selangor ASEAN Business Conference
- 7th Selangor Smart City & Digital Economy Convention
- 3th Selangor R&D and Innovation Expo
Kejayaan penganjuran SIBS dapat dilihat dengan rekod penambahan jumlah pelawat, pempamer dan juga jumlah nilai transaksi berpotensi hasil pertemuan dan perbincangan pelawat dengan pempamer di Sidang Kemuncak berkenaan. Untuk makluman, SIBS 2022 telah mengumpulkan sebanyak 906 gerai pameran, meningkat hampir dua kali ganda dari jumlah 459 gerai pameran SIBS 2021. SIBS 2022 juga telah menerima sejumlah 44,343 orang pelawat sepanjang 4 hari acara berlangsung, meningkat sebanyak 74.5% dari jumlah 25,410 orang pelawat pada tahun 2021. Dari data yang telah didapati semasa acara berlangsung, 75% daripada pelawat tersebut juga adalah pelawat perdagangan (atau trade visitors).
Disamping itu, jumlah nilai transaksi berpotensi yang telah direkodkan pada penganjuran SIBS 2022 juga meningkat iaitu berjumlah RM1.45 billion berbanding hanya RM217 juta pada tahun sebelumnya.
SIBS 2022 juga telah berjaya menghimpunkan para usahawan, pelabur, wakil persatuan perniagaan dan perdagangan, para ilmuan, ahli ekonomi serantau serta pengurusan tinggi agensi kerajaan dari dalam dan luar negara. Secara keseluruhanya, sebanyak 10 negeri di Malaysia dan 60 negara telah menyertai Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2022.
Kejayaan SIBS 2022 juga boleh dilihat secara objektif dimana usaha Kerajaan Negeri menerusi Invest Selangor untuk mempromosi dan meletakkan nama negeri ini sebagai gerbang Asia Tenggara di persada antarabangsa telah berjaya. Penjenamaan ini penting oleh kerana persaingan negeri Selangor untuk menarik pelaburan dan perniagaan untuk kesejahteraan negeri ini, bukan dengan negeri-negeri lain di Malaysia tetapi dengan negara-negara di rantau ini.
Atas kejayaan besar pada tahun 2022, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meneruskan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor pada tahun ini.
Namun, Kerajaan Negeri, menerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian Perdagangan dan Industri Kecil & Sederhana Negeri Selangor dan Invest Selangor, sentiasa peka dan mementingkan kesinambungan kejayaan program anjuran negeri agar ianya menjadi menanda aras bagi program-program lain. Berberapa penambahbaikan bagi penganjuran untuk tahun 2023 telah dikenalpasti, antaranya:
- Menyusun kembali program-program utama dan program sampingan SIBS 2023 supaya lebih menarik dan relevan dengan perkembangan semasa industri berkenaan. Contohnya SIE (Medic) akan turut memperkenalkan segmen teknologi perubatan (atau medical technology) berdasarkan peningkatan pemintaan selepas pendemik.
- Mensasarkan lebih banyak penyertaan negara luar di SIBS 2023 agar ianya menjadi salah satu program terbesar di rantau ini. Sebagai contoh, pameran makanan dan minuman GulfFood yang berlangsung pada bulan Februari 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu telah disertai oleh 125 negara termasuk lebih 5000 pempamer di dalam 25 dewan pameran. GulfFood 2023 juga telah merekodkan seramai 93,000 orang pelawat.
- Menjemput penceramah ekonomi terkenal dunia dan tetamu kehormat negara-negara di rantau Asia Tenggara seperti Menteri Indonesia, Bapak Erick Toheir dan lain-lain didalam persidangan serantau Selangor ASEAN Business Conference agar persidangan tersebut dapat menarik lebih ramai peserta dari luar negara.
- Menyaring para peserta pameran terutamanya bagi pameran Selangor International Expo (F&B) untuk memberikan lebih fokus kepada para usahawan yang bersedia untuk bersaing di pasaran luar (atau export-ready). Ini dapat menjamin kualiti pempamer dan barangan yang dipamerkan untuk dinilai oleh para pelawat perdagangan yang hadir ke pameran tersebut dan seterusnya menaikkan nilai transaksi berpotensi.
- Meningkatkan usaha-usaha promosi dan penjenamaan SIBS 2023 di dalam dan luar negara menerusi lawatan, penerbitan dan penyiaran iklan agar mendapat sambutan, penyertaan dan kejayaan yang lebih besar pada penganjuran tahun ini.
Ahli-ahli Yang Berhormat juga dijemput untuk membawa usahawan dan wakil persatuan perdagangan dan industri dari kawasan Dewan Undangan masing-masing ke Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2023, yang akan dianjurkan dari 19-22 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, untuk memperluaskan lagi rantaian perniagaan mereka melalui platform ini.