Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

49) PRESTASI PERDAGANGAN SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan prestasi perdagangan dalam tahun 2024. Sejauh mana CPTPP dan RCEP telah membantu melonjakkan ekonomi Negeri Selangor? Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk membantu pengeksport Selangor menikmati insentif seperti import duti, peraturan pasaran antarabangsa dan juga akses pasaran baru?

    Bagi tempoh Januari hingga September 2024, Negeri Selangor merekodkan nilai dagangan berjumlah RM 639.2 bilion iaitu sebanyak 9% kepada Jumlah Perdagangan Negara. Manakala sumbangan kepada Jumlah Eksport Negara pula, Selangor merekodkan sebanyak RM 264 bilion dan menyumbang sebanyak 23.7%. Negeri Selangor juga turut merekodkan sebanyak RM 375.2 bilion iaitu 36.6% kepada Jumlah Import Negara.

    Antara produk utama Negeri Selangor adalah jentera dan kelengkapan peralatan berjumlah RM273.35 bilion (42.8%), barangan perkilangan berjumlah RM 101.99 bilion (16.0%), bahan kimia berjumlah RM 78.65 bilion (12.3%), pelbagai artikel perkilangan berjumlah RM 65.35 bilion (10.2%) dan makanan berjumlah RM 46.37 bilion (7.3%).

    Manakala rakan dagangan utama Selangor seperti China (23.9%), Amerika Syarikat (12.1%), Jepun (6.5%), Indonesia (4.4%) dan India (4.1%).

    Merujuk kepada rekod Jumlah Eksport Negara, prestasi perdagangan Negeri Selangor menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan menunjukkan impak yang positif selepas penglibatan Malaysia dalam RCEP dan CPTPP pada tahun 2022. Sebagai contoh, purata nilai dagangan yang dicatatkan bagi tempoh 3 tahun sebelum penglibatan Malaysia dalam RCEP dan CPTPP adalah sebanyak RM 615.44 Bilion. Manakala selepas tahun 2022, nilai purata dagangan yang direkodkan adalah sebanyak RM 738.47 bilion.

    Antara usaha yang dilaksanakan untuk membantu pengeksport Selangor menikmati insentif seperti import duti, peraturan pasaran antarabangsa dan juga akses pasaran baru seperti:-

    1. Penyertaan syarikat Selangor dalam program MATRADE
    • Geran Pembangunan Pasaran (MDG).
    • Dana Perkhidmatan Eksport (SEF).
    • eTrade
    • Latihan Pengekport
    • Mid-Tier Company Development Program (MTCDP)
    • Bumiputera, Women & Youth Exporters Development Program. (BWYEDP)

    2. Penglibatan syarikat Selangor dalam program anjuran MATRADE seperti

    • Hari Eksport.
    • Program Promosi Eksport

    3. Kerajaan Negeri pula, turut menganjurkan program pameran seperti Selangor International Business Summit (SIBS) dan SELHAC bagi mempromosikan produk-produk keluaran Negeri Selangor untuk pasaran luar negara.

    Penglibatan syarikat dari Negeri Selangor dalam program – program anjuran MATRADE dan Kerajaan Negeri secara langsung dapat meningkatkan prestasi perdagangan Negeri Selangor dan mengukuhkan kedudukan Negeri Selangor sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan KDNK negara.

Lampiran

Tiada Lampiran.