Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009
184) PRESTASI PERBADANAN KEMAJUAN PERTANIAN SELANGOR(PKPS)
Tahun: 2009
Sesi: 3
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah rancangan kerajaan dalam mempertingkatkan prestasi PKPS memandangkan kebanyakan projeknya masih menanggung kerugian?
PKPS memberi penumpuan kepada dua aspek penting bagi meningkatkan prestasi pengurusan pentadbiran dan projek. Dari sudut pengurusan pentadbiran, langkah-langkah yang diambil oleh PKPS ialah dengan memberi penumpuan kepada dasar penjimatan dan pengecilan saiz operasi. Langkah ini diambil bagi mengurangkan kos pengurusan yang terpaksa ditanggung oleh PKPS.
PKPS juga telah menutup bahagian-bahagian yang tidak berfungsi seperti Bahagian Pemasaran dan Bahagian Ameniti Sosial. Dari aspek perniagaan pula, PKPS telah menutup projek-projek yang tidak menguntungkan serta mengalami kerugian secara berterusan. Antara anak-anak syarikat yang telah diberhentikan operasinya ialah PKPS Landscaping Services Sdn. Bhd., MAIS Food Industries Sdn. Bhd. dan Baytown Sdn. Bhd.
PKPS juga telah mempunyai perancangan dengan memberi penumpuan kepada sektor perladangan kelapa sawit yang merupakan core business kepada PKPS. PKPS akan meningkat dan menambahkan lagi keluasan penanaman kelapa sawit dari semasa ke semasa. Di samping itu juga, PKPS akan memberi penumpuan kepada penanaman tebu di Mukim Api-api, ubi kayu dan nenas di Mukim Ulu Tinggi, Daerah Kuala Selangor selain daripada menjalankan aktiviti yang mendapat keuntungan segera.
-
Apakah tindakan yang diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dalam salah laku pengurusan Projek Taman Orkid Antarabangsa (International Orchid Park)?
PKPS telah membuat penelitian serta semakan terperinci dan mendapati tiada unsur-unsur salah laku dalam pengurusan Projek Taman Orkid Antarabangsa.
Sebagai langkah proaktif, PKPS telah menamatkan perjanjian usaha sama yang dilaksanakan bagi mengelakkan kerugian yang berterusan.
-
Apakah rancangan dan tindakan yang diambil terhadap pihak pengurusan dalam kes kegagalan Projek Taman Landskap dan Taman Herba?
PKPS telah pun mengambil tindakan menamatkan perkhidmatan semua kakitangan dan pengurusan di kedua-dua projek tersebut.
PKPS mempunyai rancangan untuk membangunkan projek nurseri kelapa sawit di atas tanah Projek Taman Landskap manakala bagi tanah di Taman Herba, PKPS akan membangunkan Projek Ternakan Ikan Air Tawar.