Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

238) PRESTASI PENYELENGGARAAN BANGUNAN ANNEX DAN SUK

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah prestasi kerja-kerja penyelenggaraan ini memuaskan?

    Pada masa kini, terdapat tujuh (7) syarikat yang telah dilantik bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala di Bangunan Annex dan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Bangunan SUK), iaitu melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan seperti pembersihan kawasan dan landskap, pemotongan rumput, pembersihan dan pencucian bangunan, penghawa dingin, sistem kebakaran, penyelenggaraan lif dan lain-lain yang berkaitan.

    Untuk makluman, pelantikan syarikat bagi maksud di atas dilaksanakan dengan mematuhi peraturan dan tatacara perolehan semasa yang berkuatkuasa, iaitu dasar tender/sebutharga terbuka, dasar harga terendah serta yang terkini adalah dasar penilaian perolehan secara sistem cut-off.

    Pentadbiran ini sentiasa memantau prestasi ke atas kerja-kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat yang telah dilantik dari semasa ke semasa bagi memastikan pihak syarikat melaksanakan tugas dan tanggungjawab berdasarkan isi kandungan dan terma kontrak yang telah dimeterai. Setakat ini, syarikat-syarikat yang dilantik telah menunjukkan prestasi kerja yang baik dan memuaskan.

  2. Apakah tindakan yang diambil sekiranya terdapat aduan berkenaan kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan?

    Sekiranya terdapat aduan berkaitan kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan, Pentadbiran ini akan mengambil tindakan dengan memaklumkan perkara tersebut kepada pihak syarikat yang berkaitan dengan skop aduan berkenaan. Pihak syarikat akan diarahkan untuk menyelesaikan aduan yang berkaitan dalam tempoh yang telah ditetapkan serta memastikan agar tugas dan tanggungjawab syarikat berdasarkan isi kandungan dan terma kontrak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

    Walau bagaimanapun, sekiranya pihak syarikat gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab berkenaan, Pentadbiran ini akan mengambil tindakan seperti berikut:

    (i)      mengemukakan Surat Peringatan kepada syarikat yang berkenaan bagi mematuhi isi kandungan dan terma kontrak yang telah dimeterai;

    (ii)      melaksanakan tindakan pemotongan harga ke atas tuntutan bayaran kontrak; atau

    (iii)     melaksanakan tindakan penamatan kontrak ke atas syarikat yang telah dilantik.

    Setakat ini, syarikat-syarikat yang dilantik telah menunjukkan prestasi kerja yang baik dan memuaskan. Manakala terdapat satu (1) syarikat yang gagal menunjukkan prestasi yang memuaskan serta tidak dapat menyempurnakan kerja berdasarkan isi kandungan dan terma kontrak yang telah dimeterai. Bagi kes-kes sedemikian, Pentadbiran ini akan mengambil tindakan penamatan kontrak setelah merujuk kepada pihak Kamar Penasihat Undang-undang.

  3. Adakah kerajaan bercadang menyambung kontrak bagi syarikat-syarikat yang telah tamat tempoh kontrak?

    Sesuatu kontrak yang telah tamat tempoh perkhidmatan tidak akan disambung secara automatik, sebaliknya Pentadbiran ini adalah tertakluk peraturan dan tatacara perolehan semasa yang berkuatkuasa, iaitu dasar tender/sebutharga terbuka, dasar harga terendah serta yang terkini adalah dasar penilaian perolehan secara sistem cut-off.

    Sehubungan itu, sesuatu kontrak yang telah tamat perlu melalui proses dan tatacara perolehan sedia ada yang berkuatkuasa, sama ada melalui proses perolehan secara tender ataupun sebutharga.

Lampiran

Tiada Lampiran.