Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

1) PRESTASI KEWANGAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan prestasi kewangan terkini Negeri Selangor dari segi jumlah dalam Akaun Bersatu (Consolidated Fund) dan dalam simpanan

    Saya ingin menjawab soalan yang dikemukakan daripada YB Bukit Lanjan (soalan nombor 1), YB Sijangkang (soalan nombor 180) dan YB Rawang (soalan nombor 251) yang bertanyakan soalan yang sama tentang prestasi kewangan Negeri Selangor sehingga pertengahan tahun 2019.

    YB Bukit Lanjan (soalan nombor 1) bertanyakan tentang prestasi kewangan terkini Akaun Bersatu (consolidated Fund) atau Kumpulan Wang Disatukan dan simpanan atau  rezab Kerajaan Negeri. Rezab adalah terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan. Jumlah terkini rezab Kerajaan Negeri sehingga 30 Jun 2019 adalah sebanyak RM2,381.63 juta yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM721.19 juta dan Akaun Amanah Disatukan sebanyak RM1,660.44 juta.  Manakala baki rezab pada 31 Disember 2018 adalah berjumlah RM2,135.38 juta.

    Pada 30 Jun 2019, baki Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri  mencatatkan pengurangan sebanyak 16.39% atau RM467 juta, iaitu berkurang daripada RM2,848.63 juta  kepada RM2,381.63 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018.

    Pada 30 Jun 2019, baki Akaun Hasil Disatukan merekodkan pengurangan dari RM1,615.44 juta kepada RM721.19 juta iaitu berkurang sebanyak 55.35% atau RM894.25 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018.

    Sehingga Disember 2019, Kerajaan Negeri  telah membuat unjuran perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan  pembangunan yang keseluruhannya berjumlah RM2,640 juta manakala sasaran hasil adalah sebanyak RM2,200 juta  yang mana defisit tersebut akan dibiayai dengan menggunakan Akaun Hasil Disatukan.

    Oleh yang demikian, jika berdasarkan unjuran keseluruhan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan iaitu sebanyak  RM2,640 juta berbanding unjuran hasil tahun 2019 RM2,200 juta, maka Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah-langkah yang proaktif di dalam mengawal dan melaksanakan perbelanjaan.

    YB Sijangkang (soalan 180) dan YB Rawang (soalan 251) turut  bertanyakan soalan yang sama tentang prestasi kewangan  Kerajaan Negeri bagi tempoh 6 bulan pertama tahun 2019 berbanding tahun 2018 dan prestasi pendapatan serta perbelanjaan sehingga pertengahan tahun 2019.

    Prestasi kewangan Kerajaan Negeri bagi tempoh 6 bulan pertama sehingga 30 Jun 2019 telah mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM1,424.32 juta iaitu 64.74% daripada sasaran hasil sebanyak RM2,200 juta. Manakala jumlah keseluruhan kutipan hasil pada tahun 2018 adalah sebanyak RM 1,998.52 juta.

    Prestasi perbelanjaan mengurus sehingga 30 Jun 2019, adalah berjumlah RM565.55 juta iaitu 44.18% daripada jumlah peruntukan sebanyak RM1,280 juta.  Secara perbandingannya perbelanjaan mengurus pada tahun 2018 adalah sebanyak RM1,340.79 juta.  Kerajaan Negeri membuat unjuran perbelanjaan mengurus sehingga Disember 2019 adalah sebanyak 95% daripada jumlah peruntukan.

    Prestasi perbelanjaan pembangunan sehingga 30 Jun 2019 adalah RM661.40 juta atau 51.67% daripada jumlah peruntukan sebanyak RM1,280 juta. Secara perbandingannya perbelanjaan pembangunan pada tahun 2018 adalah sebanyak RM1,427 juta. Kerajaan Negeri membuat unjuran perbelanjaan pembangunan sehingga Disember 2019 adalah sebanyak 90% daripada jumlah peruntukan.

  2. Sila senaraikan tindakan yang diambil oleh Kerajaan untuk meningkatkan prestasi Kewangan Negeri

    YB Bukit Lanjan (soalan 1) dan YB Rawang (soalan 251) turut bertanyakan soalan yang sama tentang tindakan-tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan prestasi kewangan Kerajaan Negeri.

    Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi kewangan melalui peningkatan di dalam prestasi kutipan hasil, mengawal perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan serta memastikan peningkatan kedudukan kewangan di dalam Akaun Hasil Disatukan.

    Antara tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan prestasi kewangan dari aspek kutipan hasil adalah seperti berikut :

    • Sesi engagement yang berterusan oleh pihak Pejabat Tanah Galian Selangor dan Pejabat Daerah / Tanah dengan pihak pemohon dan syarikat sekiranya terdapat isu atau masalah dalam menjelaskan premium yang dikenakan;
    • Melaksanakan kutipan cukai petak bagi pembangunan berstrata selaras dengan pindaan Akta Hakmilik Strata (Pindaaan 2016) (A1518) yang telah berkuatkuasa mulai 1 Jun 2018;
    • Operasi Mengutip Cukai Tanah tertunggak ke atas penunggak tegar dan van kaunter kutipan hasil cukai tanah bergerak;
    • Program Perjumpaan Bersama Penduduk oleh Pejabat Daerah / Tanah dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor bagi urusan permohonan pindah milik / hakmilik strata dan membuka kaunter bayaran cukai tanah;
    • Penguatkuasaan oleh Unit Cukai Hiburan Perbendaharaan Negeri Selangor ke atas pengusaha Pusat Hiburan / Panggung Wayang / Taman Tema / Litar Lumba / Pertunjukan Pentas bagi memastikan duti hiburan diterima oleh Kerajaan Negeri;
    • Pewujudan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri yang membantu Kerajaan Negeri dalam menguruskan lebihan tunai dengan lebih efisien di samping memberi pulangan faedah yang optimum;
    • Pengenaan Caj Royalti bagi Pokok Getah, Kelapa Sawit dan Kelapa sebagaimana yang termaktub di dalam Jadual Kedua Kaedah-Kaedah Hutan Selangor (Pindaan 2017) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor;
    • Pengenaan Caj Fi Premium Kawasan, Permit Penggunaan serta caj-caj fi yang berkaitan penggunaan kawasan Hutan Simpanan Kekal dan pengeluaran hasil hutan berdasarkan Kaedah-Kaedah Hutan Selangor (Pindaan) 2017 yang telah dinaikkan kadar oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor;
    • Melaksanakan semakan semula kadar ke atas Kaedah-Kaedah Pusat Veterinar (Pindaan) 2007 kerana terdapat pertambahan perkhidmatan dan kadar bayaran yang dikenakan ketika ini adalah berdasarkan kadar pada 11 tahun dahulu;
    • Merangka pengenaan Fi Pemprosesan dan Wang Cagaran Permohonan Papan Iklan di dalam Rizab Jalan Negeri oleh Jabatan Kerja Raya Negeri;
    • Melaksanakan Akta 795 berkaitan Access Benefit Sharing (ABS) yang bertujuan untuk memastikan sumber hasil biodiversity yang dikomersialkan bagi tujuan penyelidikan, perubatan dan kosmetik dipantau dan dikongsikan. Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Jabatan Perhutanan Negeri akan memproses permohonan permit dan mengenakan bayaran bagi setiap permohonan yang diluluskan; dan
    • Merangka pelaksanaan Kaedah-Kaedah Perikanan Darat (akuakultur). Apabila ia dikuatkuasakan kelak, semua aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan perikanan darat (akuakultur) akan dikenakan caj-caj tertentu di mana pada ketika ini tiada sebarang ikatan untuk pengenaan sebarang caj. Selain daripada itu juga, tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan dengan lebih baik.

    Manakala tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan prestasi kewangan dari aspek kawalan perbelanjaan adalah seperti berikut

    • Perbendaharaan Negeri Selangor memperkemas dan membuat penambahbaikan terhadap perbelanjaan berhemah dan langkah-langkah penjimatan di dalam menguruskan perbelanjaan wang awam.
    • Kawalan Perbendaharaan iaitu Penguatkuasaan Akta Tatacara Kewangan 1957 dan Pekeliling-Pekeliling Perbendaharaan bagi memastikan pembayaran dibuat dengan sempurna.  Contohnya kawalan terhadap pembayaran Arahan Perbendaharaan 58(a).

    Seterusnya tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kedudukan kewangan adalah dengan memastikan pengurusan rezab diurus dengan cekap dan teratur dan memastikan segala dasar, program, projek dan aktiviti yang dirancang bagi pembangunan Negeri Selangor dan kebajikan rakyat Negeri Selangor dapat dilaksanakan dengan berkesan.

    Maklumat tambahan 1 :

    Berikut (Jadual 1) merupakan maklumat tambahan tentang kedudukan rezab Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2019 dan tahun 2018 (bagi tempoh 1 Januari 2019 sehingga 30 Jun 2019 dan bagi tempoh 1 Januari 2018 sehingga 30 Jun 2018) sebagai data sokongan kepada pernyataan di atas.

    JADUAL  1      : KEDUDUKAN REZAB NEGERI SELANGOR PADA TAHUN  2019 DAN 2018 (BAGI TEMPOH 1 JANUARI HINGGA 30 JUN)

      01 Jan – 30 Jun 2018 01 Jan – 30 Jun 2019  
      RM Juta  

    RM Juta

     

    RM Juta

     

    %

    Wang Tunai 302.41 228.80 -73.61 -24.34
    Pelaburan 2,546.22 2,152.83 -393.39 -15.45
      2,848.63 2,381.63 -467.00 -16.39
             
    Akaun Hasil Disatukan 1,615.45 721.19 -894.26 -55.35
    Akaun Amanah Disatukan 1,233.18 1,660.44 427.26 34.64
    Akaun Pinjaman Disatukan 0.00 0.00    
      2,848.63 2,381.63 -467.00 -16.39

    Maklumat tambahan 2 :

    Berikut (Jadual 2) merupakan maklumat tambahan tentang terimaan hasil dan perbelanjaan Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2019 dan tahun 2018 (bagi tempoh 1 Januari 2019 sehingga 30 Jun 2019 dan bagi tempoh 1 Januari 2018 sehingga 30 Jun 2018) sebagai data sokongan kepada pernyataan di atas.

    JADUAL 2 –  TERIMAAN HASIL DAN PERBELANJAAN TAHUN 2019  DAN 2018 (BAGI TEMPOH 1 JANUARI HINGGA 30 JUN)

      01 Jan – 30 Jun 2018 01 Jan- 30 Jun 2019 Perbandingan
      RM Juta % Belanjawan RM Juta % Belanjawan RM Juta %
    HASIL            
    Hasil Cukai 520.95 81.05% 562.00 80.35% 41.05 7.88%
    Hasil Bukan Hasil 588.39 42.22% 682.26 53.32% 93.88 15.96%
    Terimaan Bukan Hasil 75.21 35.21% 180.06 81.46% 104.85 139.41%
      1,184.55 52.65% 1,424.32 64.74% 239.77 20.24%
                 
    PERBELANJAAN MENGURUS            
    Emolumen 218.85 49.26% 229.52 52.47% 10.67 4.88%
    Perkhidmatan Dan Bekalan 196.15 35.18% 226.45 43.05% 30.29 15.44%
    Aset 2.65 24.56% 4.20 44.75% 1.55 58.49%
    Pemberian Dan Kenaan      Bayaran Tetap 216.69 60.23% 93.77 42.27% -122.92 -56.72%
    Perbelanjaan Lain 17.13 19.56% 11.61 13.61% -5.53 -32.28%
      651.47 44.62% 565.55 44.18% -85.92 -13.19%
                 
    PERBELANJAAN PEMBANGUNAN 703.33 42.37% 661.40 51.67% -41.93 -5.96%
    JUMLAH PERBELANJAAN 1,354.8 43.42% 1,226.95 47.93% -127.85 -9.44%
    Lebihan /Defisit Keseluruhan -170.25   197.37   367.62  

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.