Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

174) PRESTASI KEWANGAN KUIS DAN UNISEL

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan prestasi kewangan yang merangkumi penyata pendapatan, penyata ekuiti pemilik dan penyata aliran tunai dari 2020 hingga kini.

    UNISEL

    Prestasi kewangan pada masa kini menunjukkan penurunan sekitar 20% dari segi pendapatan yuran pelajar bagi tempoh 6 bulan pertama 2021, berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020. Punca utama penurunan ini adalah disebabkan oleh kesan-kesan yang dialami berikutan wabak COVID-19 yang masih membelenggu dunia sehingga kini. Usaha untuk menarik pelajar baru dan mengekalkan pelajar sedia ada agak mencabar disebabkan oleh kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam talian yang kurang digemari oleh mereka kerana masalah rangkaian internet dan sebagainya. Selain itu, kebanyakan pelajar yang terkesan kerana kehilangan punca pendapatan ahli keluarga tidak dapat meneruskan pengajian atau terpaksa menangguhkan pengajian kerana tidak berkemampuan untuk membayar yuran pengajian.

    Tambahan pula, UNISEL kehilangan pendapatan dari asrama pelajar dan sewaan bangunan sekitar RM10 juta setahun sejak tahun 2020 dan sehingga kini kerana kebanyakan pelajar berada di rumah dan menjalani proses pembelajaran secara dalam talian. Manakala dari segi kos perbelanjaan operasi dan lain-lain, terdapat pengurangan sekitar 15% bagi tempoh 6 bulan pertama 2021, jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun 2020. Pengurangan ini disebabkan oleh pengurangan kos elektrik dan air berikutan asrama tidak didiami pelajar, di samping kaedah bekerja dari rumah bagi sebahagian pekerja yang turut menjimatkan kos  utiliti semasa.

    Dari segi penyata ekuiti pemilik, pengurangan jumlah ekuiti adalah disebabkan oleh kerugian terkumpul dan semasa. Tiada penambahan dari segi modal saham sehingga kini. Manakala, dari segi penyata aliran tunai, UNISEL menghadapi masalah aliran tunai sama seperti syarikat-syarikat lain. Pengurangan jumlah pelajar yang mendaftar dan kekurangan bantuan peruntukan kewangan memberikan kesan yang besar kepada UNISEL kerana kos operasi UNISEL selama ini bergantung sepenuhnya kepada yuran pelajar dan asrama. Anggaran aliran tunai UNISEL sehingga akhir tahun 2021 menunjukkan defisit/ kekurangan tunai dan memerlukan bantuan segera bagi tujuan operasi universiti.

    KUIS

    Seperti di Lampiran A

     

  2. Bagaimanakah kedua-dua pusat pengajian ini menampung kos operasi sepanjang pandemik COVID-19?

    UNISEL

    UNISEL menghadapi aliran tunai yang sangat terhad terutamanya kerana bergantung kepada yuran pengajian pelajar. Sekitar 60-70% pelajar UNISEL merupakan pelajar tajaan dan merupakan golongan B40, oleh itu, penerimaan yuran tersebut hanya diperoleh oleh UNISEL selepas selesai proses pendaftaran, permohonan dan kelulusan penaja-penaja. Selain itu, UNISEL terpaksa meneliti segala perbelanjaan dengan lebih terperinci dan mengurangkan perbelanjaan mengikut keperluan mendesak yang perlu diutamakan terlebih dahulu bagi memastikan keberterusan operasi UNISEL. UNISEL telah mendapat “soft loan” sebanyak 15 juta bagi tujuan pembiayaan OPEX dan CAPEX. Bantuan ini diperlukan memandangkan sehingga kini, UNISEL masih cuba bertahan dan tidak melakukan pembuangan pekerja secara drastik, atau pemotongan gaji di samping terpaksa meneruskan penyelenggaraan seperti biasa meliputi kawasan universiti yang luas dan membaik pulih aset-aset yang kritikal dan perlu diperbetulkan segera.  Bagi tempoh 6 bulan seterusnya selepas ini, bantuan peruntukan kewangan tambahan kepada pelajar dan UNISEL adalah sangat diperlukan bagi menjamin keberlangsungan UNISEL sebagai sebuah institusi pendidikan. Sekiranya jumlah pendaftaran pelajar berterusan berkurangan walaupun pelbagai usaha pemasaran telah dilakukan dan tiada bantuan kewangan tambahan yang diperoleh, keadaan ini akan meletakkan UNISEL dalam keadaan defisit aliran tunai dan mengganggu kemampuan untuk meneruskan operasi seperti biasa.

    KUIS

    Secara dasarnya KUIS amat terkesan dengan pandemik COVID-19 yang bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac 2020. Bagi memastikan kelestarian kewangan KUIS agar terus bertahan dan mampu menampung kos operasi, KUIS mendapat komitmen dan sokongan yang padu daripada semua pegawai dalam melaksanakan penjimatan, penjanaan pendapatan dan pencarian dan seperti berikut:

    1. KUIS melaksanakan langkah-langkah penjimatan melalui kaedah pemotongan perbelanjaan (cost cutting measure) seperti berikut:-

    i. Mengurus perbelanjaan mengikut keutamaan dan menangguhkan perbelanjaan yang kurang kritikal.

    ii. Pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) dapat menjimatkan kos operasi seperti tuntutan kerja lebih masa, utiliti, pembaikan, perbelanjaan percetakan dan alat tulis.

    iii. KUIS mengubah strategi pemasaran daripada kaedah konvensional yang lebih mahal dengan menyertai pameran-pameran institusi pendidikan kepada kaedah pengiklanan dan promosi secara maya yang lebih murah dan efisien.

    2. Penjanaan pendapatan melalui:

    i. Pelaburan yang berisiko rendah seperti peletakan simpanan tetap dengan menggunakan dana sedia ada bagi meningkatkan jumlah hibah.
    ii. Penganjuran kursus jangka pendek pada kadar yuran yang berpatutan bagi menambah pendapatan.

    3. Inisiatif fakulti dan pusat kecemerlangan dalam pencarian dana melalui kaedah:

    i. Pendanaan awam atau crowfunding bagi melaksanakan program-program yang dirancangkan.

    ii. Pendanaan geran penyelidikan dari luar termasuklah berkolaborasi dengan IPT awam, IPT swasta dan juga industri bagi melaksanakan aktiviti penyelidikan.

    4. Selain dari tindakan penjimatan, penjanaan pendapatan dan pencarian dana yang dilaksanakan, KUIS menggunakan rizab tunai terkumpul yang dibawa dari tahun sebelumnya bagi menampung kos operasi.