Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

145) PRESTASI KDEB WASTE MANAGEMENT SDN BHD (KDEBWM) MENGURUSKAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL DAN PEMBERSIHAN AWAM DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah syarikat yang dilantik oleh KDEB mengikut PBT?

    Sehingga ke hari ini, KDEBWM mempunyai sebanyak 1089 syarikat yang telah dilantik sebagai sub-kontraktor di kesemua 12 PBT bagi melaksanakan perkhidmatan kutipan sampah domestik, pembersihan awam, kutipan domestik & pukal kampung tradisi, pembersihan taman, padang, jalan persiaran & kolam tadahan dan kutipan sampah pukal. Pecahan terperinci jumlah syarikat kontraktor mengikut PBT dan skop perkhidmatan adalah seperti berikut:

  2. Adakah prestasi syarikat-syarikat yang dilantik memuaskan?

    Secara umumnya prestasi setiap syarikat sub-kontraktor yang dilantik ini adalah pada tahap yang memuaskan dan memenuhi sekurang-kurangnya skala prestasi minimum yang telah ditetapkan oleh PBT. Pemantauan secara berterusan akan dibuat secara bersama oleh KDEBWM dan juga PBT bagi memastikan prestasi syarikat sub-kontraktor ini mencapai standard yang telah ditetapkan.

    Prestasi setiap zon perkhidmatan yang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat sub-kontraktor ini akan dibentangkan pada setiap bulan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengindahan Bandar di setiap PBT yang akan dihadiri oleh beberapa Ahli Majlis, Ketua-Ketua Jabatan PBT, dan wakil KDEB Waste Management. Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Dato’ Bandar / Yang Dipertua atau Timbalan mereka.

  3. Apakah tindakan yang dikenakan terhadap syarikat yang bermasalah?

    Bagi syarikat-syarikat sub-kontraktor yang bermasalah dan gagal mencapai standard serta skala prestasi minimum yang telah ditetapkan, Notis Tindakan Pembetulan (NTP) yang melibatkan penolakan markah demerit dan penalti pada kadar tertentu bergantung kepada tahap kegagalan akan dikeluarkan oleh PBT kepada KDEBWM mengikut zon yang bermasalah. KDEBWM seterusnya akan mengeluarkan pula NTP kepada syarikat kontraktor yang berkenaan secara back-to-back. KDEBWM juga boleh mengeluarkan NTP secara terus kepada syarikat sub-kontraktor tanpa perlu menunggu NTP dikeluarkan oleh PBT. Pengeluaran NTP kepada syarikat sub-kontraktor ini akan menjejaskan markah prestasi mereka yang boleh mengakibatkan mereka digantung sementara atau ditamatkan perkhidmatan.

    Sekiranya syarikat sub-kontraktor yang bermasalah ini gagal mencapai skala prestasi minimum untuk tempoh tiga (3) bulan berturut-turut, syarikat sub-kontraktor tersebut boleh digantung perkhidmatan untuk sementara waktu sehingga tiga (3) bulan atau ditamatkan kontrak perkhidmatan mereka tertakluk kepada tahap keseriusan atau severity kegagalan prestasi mereka. Sehingga ke hari ini, KDEBWM telah menamatkan perkhidmatan 14 syarikat sub-kontraktor yang bermasalah serta di dapati gagal mencapai standard dan skala prestasi minimum yang telah ditetapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.