Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

30) PRESTASI KDEB WASTE MANAGEMENT SDN BHD (KDEBWM) MENGURUSKAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL DAN PEMBERSIHAN AWAM DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah jumlah peruntukan dan kos perbelanjaan kepada KDEBWM untuk menguruskan pungutan sisa pepejal bagi seluruh PBT Selangor?

    Sehingga kini, daripada keseluruhan dua belas (12) kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) KDEBWM telah beroperasi di sebelas (11) PBT kecuali Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Jumlah keseluruhan peruntukan yang telah diberikan kepada KDEBWM oleh sebelas (11) PBT bagi menguruskan kerja-kerja kutipan sisa pepejal domestik dan pembersihan awam adalah sebanyak RM 400.70 juta setahun.

    Dengan peruntukan ini, KDEBWM juga telah membuat pelaburan untuk menambahbaik kualiti serta mutu perkhidmatan kutipan sisa pepejal domestik dan pembersihan awam dengan mewujudkan Centralized Command Centre (CCC) bagi menguruskan semua aduan awam selain membeli lori kompaktor dan RORO baru yang dilengkapi dengan Auto Vehicle Locating System (AVLS) bagi memastikan pemantauan dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan.

    Untuk rekod, jumlah peruntukan yang diberikan oleh PBT kepada KDEBWM ini adalah 16.88% lebih rendah atau kurang RM81.38 juta dari bajet asal yang dimohon oleh KDEBWM iaitu sebanyak RM482.08 juta. Dengan jumlah peruntukan yang diberikan serta pelaburan yang telah dikeluarkan oleh KDEBWM untuk membeli lori kompaktor dan RORO baru, perkhidmatan KDEBWM boleh dianggap sebagai value for money.

  2. Apakah jumlah peruntukan dan kos perbelanjaan ke tapak pelupusan sampah pada tahun 2017, 2018, 2019 mengikut setiap pihak berkuasa tempatan?

    Negeri Selangor menghasilkan sejumlah 7,270 tan sisa pepejal perbandaran sehari, di mana sebanyak 6,260 tan adalah sisa domestik. Sisa pepejal di Negeri Selangor dijangka meningkat dengan anggaran kadar 2 peratus setiap tahun disebabkan pembangunan yang semakin pesat dan penambahan penduduk.

    Tapak-tapak pelupusan sisa pepejal dan sisa lengai yang dikendalikan oleh syarikat Worldwide Holdings Berhad menerima 88 peratus sisa pepejal dan sisa lengai daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Negeri Selangor.

    Berdasarkan kepada perjanjian konsesi yang ditandatangani oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor dan pihak WHB, kadar yuran ‘tipping’ bagi sisa pepejal domestik adalah sebanyak RM 36.00 setiap tan, manakala untuk kadar yuran ‘tipping’ bagi sisa lengai adalah berdasarkan kepada jenis sisa yang hendak dilupuskan, dengan kadar purata sebanyak RM 17.00 setiap tan.

    Kadar bayaran yuran ‘tipping’ tersebut perlu disemak selepas tiga (3) tahun tapak beroperasi dengan kadar kenaikan minimum sebanyak lima peratus (5%) daripada kadar sebelumnya untuk setiap (3) tahun. Walau bagaimanapun, kadar yuran ‘tipping’ yang dinyatakan di atas masih lagi digunapakai sejak tahun 2007 di setiap tapak pelupusan hingga sekarang.

    Untuk makluman, jumlah purata harian sisa pepejal yang diterima oleh setiap PBT di tapak pelupusan untuk tempoh 2017 sehingga 2019 adalah seperti di lampiran. Berdasarkan maklumat di atas, purata jumlah kos perbelanjaan pelupusan sisa pepejal ke tapak pelupusan dalam tempoh 3 tahun kebelakangan ini adalah dianggarkan sebanyak RM 69 juta setahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.