Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

227) PRESTASI EKONOMI NEGERI

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan prestasi ekonomi Selangor untuk suku tahun pertama tahun 2019 berbanding tahun 2018?

    Berdasarkan prestasi ekonomi pada tahun 2017 oleh pihak Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada kadar 7.1 peratus. Negeri Selangor juga tergolong dalam kelompok negeri dengan sumbangan yang meningkat saban tahun kepada ekonomi Malaysia. Sumbangan Selangor kepada ekonomi nasional ialah sebanyak 21.6 peratus pada tahun 2010 menokok kepada 22.4 peratus pada tahun 2014 dan terus mengukuh kepada 23.0 peratus pada tahun 2017. Untuk tahun 2018 dan 2019 prestasi ekonomi Selangor masih belum diumumkan, namun Kerajaan Negeri optimis Negeri Selangor akan mencatatkan angka yang memberangsangkan dan kekal menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional.

  2. Apakah langkah yang diambil untuk memacu prestasi ekonomi Negeri Selangor tahun 2019?

    Untuk makluman YB, antara inisiatif baru yang telah diperkenalkan bagi memacu prestasi ekonomi Negeri Selangor di tahun 2019 adalah Klusterisasi Negeri Selangor. Sebanyak sepuluh (10) gugusan atau klusterisasi telah dikenalpasti berteraskan kepada potensi sedia ada di daerah-daerah Negeri Selangor bagi menjana pertumbuhan ekonomi setempat yang berkualiti dan seterusnya turut menjana pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan.  Berdasarkan potensi sedia ada di daerah-daerah, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah dalam menyatukan (reconciliation) kekuatan-kekuatan kawasan supaya daerah-daerah tersebut dapat diberi nilai tambah (value added) dan akhirnya dapat diterjemahkan kepada Smart State menjelang tahun 2025. Pelaksanaan klusterisasi ini juga dijangka mampu untuk meningkatkan daya saing Negeri Selangor di peringkat nasional dan global bagi menarik pelaburan domestik dan asing yang berkualiti tinggi.

    Selain itu, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada sektor Pertanian dan Industri Asas Tani memandangkan pertanian merupakan sektor yang penting dalam menjamin bekalan makanan atau food security rakyat Negeri Selangor. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 2017 adalah sebanyak 1.5% dengan nilai sebanyak RM3.98 bilion. Dijangkakan pada tahun 2026, KDNK Pertanian Selangor dari segi nilai akan meningkat kepada RM6 bilion. Peningkatan ini akan disokong oleh pengeluaran hasil produk-produk pertanian yang berteraskan pengunaan teknologi-teknologi moden. Selain itu,  penekanan  terhadap prinsip Precision Agriculture termasuk Good Agriculture Practices (GAP) serta pembukaan kawasan-kawasan pertanian baharu dengan penanaman produk pertanian bernilai tinggi (High Value Agriculture Products) akan turut diberikan.

    Sebagai contoh projek penanaman Golden Melon di Selangor Fruit Valley seluas 3 ekar yang sedang dalam penyediaan tapak dan akan bermula tahun ini di mana tempoh pengeluaran hasil akan mula diperolehi dalam tempoh 3 bulan. Pengeluaran hasil dijangka bernilai RM150,000 per tuaian dengan harga jualan di pasaran sebanyak RM10-12 per kg. Dengan tempoh yang singkat, dengan keluasan yang minima, namun hasil yang bakal diperolehi oleh pengusaha boleh mencecah sehingga RM600,000.00 setahun nilai jualan. Oleh yang demikian, saya percaya sektor pertanian selepas ini bukan sekadar meraih pendapatan sampingan malah ianya boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan utama dan mengurangkan kebergantungan kepada bidang pekerjaan yang semakin mengecil khusus kepada generasi muda.

    Selangor juga merancang untuk menarik pelaburan asing dan domestik bernilai tinggi dan mengekalkan kedudukannya sebagai salah satu destinasi pelaburan utama dengan menjalankan lebih banyak aktiviti promosi pelaburan bersasar dan menarik pelaburan baru dalam bidang penyelidikan (R&D) dan inovasi untuk menaiki rantaian nilai serta mewujudkan peluang pekerjaan berasas pengetahuan. Selain itu, Kerajaan Negeri menggalakkan pembangunan ekonomi di luar Lembah Klang dengan meningkatkan pelaburan untuk projek perkilangan di kawasan-kawasan tersebut. Pembangunan sektor perkilangan yang lebih menyeluruh mengikut klusterisasi industri akan mendorong proses urbanisasi di kawasan luar Lembah Klang.

    Kerajaan Negeri juga menggalakkan transformasi digital, inovasi dan R&D dengan:

     

    • Menggalakkan adopsi teknologi baru dan menarik pelaburan dari Industri 4.0, inovasi dan R&D untuk menaiki rantaian nilai serta mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti dan bernilai tinggi;
    • Menggalakkan dan menyokong syarikat-syarikat berpotensi dan sedia ada untuk memodenisasikan perniagaan supaya terus relevan dalam pasaran perniagaan yang sentiasa berubah; dan
    • Meningkatkan daya saing Selangor sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau Asia.

    Kerajaan Negeri komited untuk mempromosikan pelaburan berkualiti untuk menerajui pertumbuhan ekonomi negeri. Walau bagaimanapun, kerjasama yang berterusan dengan Kerajaan Persekutuan adalah penting untuk memastikan persekitaran pelaburan yang optimum untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Selangor.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.