Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

68) PRESTASI BAS SMART SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah pencapaian penggunaan bas Smart Selangor di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding selepas PKP?

    Penggunaan bas Smart Selangor di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan penurunan sebanyak 50.07% iaitu 7,794,434 orang pengguna pada tahun 2020 berbanding tahun sebelum PKP iaitu 15,612,196 orang pengguna pada tahun 2019. Penggunaan bas Smart Selangor di seluruh PBT masih menunjukkan penurunan sebanyak 44.74% iaitu 4,307,063 orang pengguna pada tahun 2021 berbanding tahun 2020 memandangkan PKP masih dilaksanakan pada tahun 2021.

    Walau bagaimanapun, pada tahun 2022 iaitu selepas pelaksanaan PKP, terdapat trend peningkatan bagi penggunaan bas Smart Selangor di mana penggunaan bas Smart Selangor sehingga 30 September 2022 adalah seramai 4,446,274 orang pengguna direkodkan.

  2. Adakah perancangan lain secara tersasar bagi membantu mengurangkan kos perjalanan pekerja dan rakyat Selangor berklasifikasi B40?

    Penggunaan bas Smart Selangor adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu mengurangkan kos perjalanan pekerja dan rakyat Selangor berklasifikasi B40. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga adalah dalam peringkat kajian bagi mengenalpasti inisiatif-inisiatif lain yang boleh diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat Negeri Selangor dan tenaga kerja Negeri Selangor terutamanya kepada golongan yang memerlukan. Perkara ini memerlukan penelitian dan analisa yang terperinci memandangkan ia melibatkan peruntukan kewangan Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor juga sentiasa menyambut baik semua cadangan dan usaha ke arah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Negeri Selangor terutama kepada golongan yang memerlukan bantuan dan kemudahan.

Lampiran

Tiada Lampiran.