Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
134) PRESTASI AHLI-AHLI MAJLIS
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Ahli-ahli majlis yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri pada 1 Julai 2008 akan menamatkan sesi perkhidmatan mereka pada 30 Jun 2009. Bagaimanakah cara penilaian (KPI) yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap prestasi Ahli-ahli Majlis di semua Pihak Berkuasa Tempatan?
Setiap Ahli Majlis PBT akan dinilai prestasinya oleh Datuk Bandar/ Yang Dipertua Majlis dengan mengguna pakai borang prestasi yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri berdasarkan aspek-aspek seperti berikut:-
- Kehadiran Mesyuarat
- Komitmen Kepada Tugas
- Pengetahuan Dan Kemahiran Dalam Tugas
- Kebolehan Membuat Keputusan
- Keberkesanan Komunikasi
- Keberkesanan Hasil Kerja
- Kepimpinan
- Integriti
- Disiplin Dan Ketepatan Masa
- Proaktif Dan Inovatif xi. Jalinan Perhubungan Dan Kerjasama Untuk makluman Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, setiap aspek bagi penilaian (KPI) tersebut telah ditetapkan markah penuh sebanyak 10 markah.
Dalam pada masa yang sama, Ahli-ahli Majlis juga akan dinilai serta disyorkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan juga Ahli Parlimen sama ada prestasi yang ditonjolkan akan disambung perkhidmatan sebagai Ahli Majlis atau sebaliknya.
Sehubungan dengan itu, penilaian prestasi Ahli-ahli Majlis berkenaan kemudiannya akan dilaporkan di dalam Mesyuarat Khas Penilaian Ahli-ahli Majlis untuk penilaian seterusnya bersama semua ADUN dan Ahli Parlimen secara berperingkat mengikut PBT.
-
Bagaimanakah keputusan keseluruhan prestasi Ahli-ahli Majlis ini dan bagaimana pula tempoh perkhidmatan mereka pada masa akan datang?
Keseluruhan prestasi Ahli-ahli Majlis PBT bagi penggal 2008/2009 yang dilantik oleh Kerajaan Negeri telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, berkesan serta amat memuaskan kerana inisiatif melalui pembahagian zon serta mewujudkan pejabat Ahli Majlis memudahkan penduduk mengenali dan menyampaikan aduan terus kepada Ahli Majlis yang dilantik di sesebuah zon.
Walau bagaimanapun, hanya terdapat segelintir Ahli Majlis sahaja yang kurang aktif dalam penyampaian perkhidmatannya yang mungkin perlu diberi lebih pendedahan mengenai peranan sebagai Ahli Majlis.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah bersetuju agar tempoh perkhidmatan Ahli-ahli Majlis PBT masih dikekalkan untuk tempoh satu tahun sahaja agar peluang dapat diberikan kepada calon-calon lain.
-
Apakah perbezaan penilaian ini berbanding pada sesi lalu ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional?
Untuk makluman, Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa penambahbaikan bagi penilaian tahap pencapaian Ahli-ahli Majlis PBT agar lebih komprehensif. Penambahan dari segi penilaian kriteria, indicator serta penglibatan jawatankuasa penilaian prestasi Ahli-ahli Majlis telah dibuat oleh Kerajaan Negeri di mana penambahbaikan ini membezakan pelaksanaan penilaian pada sesi lalu ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.