Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

120) PREMIS/TANAH PERSENDIRIAN TERBIAR

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tindakan yang boleh diambil terhadap pemilik premis/tanah yang sengaja membiarkan sehingga menyebabkan kacauganggu kepada jiran berhampiran?

    Antara tindakan yang boleh diambil oleh PBT terhadap pemilik premis/ tanah yang sengaja membiarkan sehingga menyebabkan kacauganggu kepada jiran berhampiran adalah PBT akan membuat siasatan terlebih dahulu ke atas aduan awam yang diterima dan membuat semakan carian hak milik. Seterusnya, PBT akan mengeluarkan Notis Amaran bagi mengarahkan tindakan pembersihan kepada pemilik premis / tanah dengan mengguna pakai undang-undang di bawah Seksyen 74, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) iaitu “Mana-mana pemunya, penduduk atau penyewa mana-mana rumah, bangunan atau tanah, sama ada layak diduduki oleh tenan atau tidak, yang membiarkan rumah, bangunan atau tanah itu atau mana-mana bahagiannya berada dalam keadaan kotor dan tidak baik atau diliputi oleh tumbuh-tumbuhan rimbun dan mudarat melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dan didenda tambahan tidak melebihi satu ratus ringgit bagi setiap satu hari selama tempoh kesalahan itu diteruskan selepas sabitan”. Berdasarkan akta yang diguna pakai, denda yang dikenakan oleh Mahkamah ialah RM 1,000.00 dan kompaun yang ditawarkan oleh pihak Majlis ialah RM 500.00 sahaja

    Bagi kes yang mana pemilik premis tidak mengambil tindakan membersihkan premis / lot tanah kosong / terbiar walaupun selepas menerima notis beberapa kali, PBT boleh mengambil tindakan di bawah Seksyen 80, Akta 171 iaitu menjalankan kerja – kerja pembersihan dan menuntut bil kos pembersihan tersebut daripada pemilik. PBT juga boleh membawa kes ke mahkamah jika pemilik engkar membayar kompaun yang dikeluarkan dan kos pembersihan tersebut.

  2. Adakah Kerajaan Negeri dapat mengetatkan undang-undang untuk merampas tanah/premis jika pemilik terus tidak memberi kerjasama untuk membersihkan?

    Bagi mengetatkan undang-undang agar pemilik premis mematuhi peraturan, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan membangunkan sistem i-sekat untuk digunakan oleh semua PBT Negeri Selangor di mana maklumat kompaun, kos pembersihan yang terlibat dan tunggakan cukai taksiran akan dimasukkan di dalam sistem tersebut. Kini, sistem tersebut masih dalam pembangunan oleh pihak Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.