Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

139) PREMIS PERNIAGAAN WARGA ASING

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi memperkemaskan undang-undang sedia ada bagi menangani masalah ini? Seksyen 101 (1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dilihat mempunyai loop hole bagi PBT mengambil tindakan tegas terhadap permasalahan ini.

    Untuk makluman Yang Berhormat sekalian, penggubalan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Namun begitu, Kerajaan Negeri sentiasa proaktif dalam membantu Kerajaan Persekutuan dari segi pemberian input-input berkaitan seperti yang diminta oleh Kerajaan Persekutuan untuk menambahbaik Akta 171. Selain itu, Kerajaan Negeri juga sentiasa peka di atas segala isu-isu yang berlaku dan sentiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk memperkasakan Enakmen-Enakmen dan Undang-Undang Kecil sedia ada di bawah setiap PBT berkaitan aktiviti perniagaan.

    Merujuk kepada Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] yang dibangkitkan, seksyen pada akta berkenaan merujuk kepada satu kuasa tambahan yang diperuntukkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang berbunyi seperti berikut:

    melakukan segala yang perlu atau yang bermanfaat kepada keselamatan, kesihatan atau kesenangan awam”.

    Peruntukan ini bukanlah satu peruntukan yang memberikan kuasa mutlak kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengambil tindakan penutupan atau sitaan terhadap premis perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing. Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa memandang serius melibatkan warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram atau tanpa lesen dan mengambil pendekatan penguatkuasaan yang tegas, berhemah dan berperikemanusiaan sewaktu tindakan ke atas peniaga tanpa lesen. PBT tidak mengeluarkan lesen atau permit kepada warga asing selaras dengan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian yang tidak membenarkan peniaga selain warganegara.

    Selain itu, penambahbaikan di dalam prosedur permohonan lesen bagi aktiviti yang berpotensi dimonopoli oleh warga asing turut dilaksanakan oleh PBT dengan mengenakan syarat yang lebih ketat seperti meminta senarai pekerja dan jika  terdapat pekerja tersebut merupakan warga asing, maka, sesalinan passport dan permit kerja yang sah perlu dilampirkan bersama bagi tujuan kelulusan. Sekiranya pemohon gagal untuk mengemukakan dokumen tersebut, PBT tidak akan meluluskan permohonan lesen tersebut.

    Selain itu, Kerajaan Negeri bersama-sama PBT di Negeri Selangor sedang dalam tindakan untuk menambah baik Undang-Undang Kecil sedia ada untuk memberi punca kuasa kepada PBT untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana premis perniagaan yang dijalankan oleh warga asing sama ada berlesen ataupun tidak.

Lampiran

Tiada Lampiran.