Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

295) PRASARANA DAN KEMUDAHAN AWAM

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah jeti-jeti yang berdaftar (sah) di perairan Negeri Selangor?

    1. Kawasan aktiviti jeti di dalam Negeri Selangor terdiri daripada kawasan had pelabuhan dan kawasan luar had pelabuhan. Kawasan had pelabuhan merupakan kawasan di bawah pentadbiran Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) manakala kawasan di luar had pelabuhan merupakan kawasan di bawah pentadbiran Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

     

    LUAS telah mengeluarkan Lesen Kebenaran Bertulis Aktiviti Pengubahan Sumber (Pembinaan Jeti) kepada dua (2) operator jeti persendirian di luar kawasan had pelabuhan. LPK telah mengeluarkan sebanyak 14 lesen pengoperasian kepada operator jeti persendirian di dalam kawasan had pelabuhan.

     

    Berdasarkan kajian pengurusan jeti Negeri Selangor yang dijalankan, pendaftaran jeti akan dibuat selaras dengan hasil kajian tersebut di mana aspek sosioekonomi dan kesesuaian lokasi diambilkira. LUAS sedang menyediakan pelan tindakan penyelesaian yang melibatkan pewartaan dan pendaftaran bagi jeti yang memenuhi kriteria dan syarat seperti peruntukan Seksyen 43, Enekmen LUAS, 1999. Jeti yang tidak memenuhi kriteria dan syarat akan dirobohkan.

  2. Adakah kerajaan bersedia untuk membina sebuah jeti baru di Pantai Tanjong Sepat bagi kegunaan nelayan-nelayan?

    1. Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Jeti Negeri Selangor pada 4 Mac 2014 telah diadakan bagi membincangkan penyelarasan berkenaan Jeti Nelayan Tanjung Sepat dan penyediaan Kertas Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dibuat oleh LUAS.

     

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil 25/2014 yang bersidang pada 25 Jun 2014 memutuskan untuk menangguhkan pembinaan semula jeti nelayan Tanjung Sepat sehingga permohonan rasmi pembinaan diterima daripada mana- mana pihak.

     

    LUAS merupakan badan yang menguruskan dan menguatkuasakan aktiviti jeti melalui Jawatankuasa Pengurusan Jeti Negeri Selangor di mana setiap pembinaan jeti perlu mendapatkan Kebenaran Bertulis Aktiviti Pengubahan Sumber (Pembinaan Jeti) daripada LUAS selaras dengan Seksyen 43, Enakmen LUAS, 1999. LUAS bukan agensi yang bertanggungjawab dalam penyediaan fasiliti dan pembangunan jeti.

  3. Apakah kerajaan menyediakan peruntukan munasabah untuk membaikpulih dewan orang ramai dan balai raya di kampung-kampung tradisi?

    1. Kerajaan Negeri ada menyediakan peruntukan khusus tahunan untuk pembaikan dewan orang ramai dan balai raya di kampung-kampung tradisi. Setiap tahun, sejumlah RM4 juta peruntukan pembangunan khusus disediakan bagi tujuan tersebut bawah peruntukan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang dikawal selia oleh Unit Perancang Ekonomi

     

    Pelaksanaan projek-projek membina baru / membaikpulih / menaiktaraf dewan serbaguna dan balai raya kampung tradisi adalah berdasarkan permohonan yang telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) melalui pejabat daerah sama ada daripada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) / Ketua Komuniti, aduan penduduk serta pemantauan yang dibuat sendiri oleh Pejabat Daerah/Tanah dan permohonan tersebut dirujuk kepada Ahli Dewan Negeri di kawasan berkaitan. Pemilihan projek-projek tersebut adalah berdasarkan keperluan untuk baikpulih dan tahap kritikal sesuatu permohonan projek.

     

    Selain peruntukan khusus tersebut, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan program pembangunan Hasil Negeri Untuk Rakyat (HNUR) pada tahun 2011 dan inisiatif tersebut telah membelanjakan sejumlah RM6,107,752.91 (Ringgit Malaysia: Enam Juta Satu Ratus Tujuh Ribu Tujuh Ratus Lima Puluh Dua dan Sen Sembilan Puluh Satu Sahaja) bagi menampung pelaksanaan 215 projek pembaikan dewan serbaguna dan balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

     

    Secara keseluruhan, sejak 2008 sehingga Oktober 2014, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM 15,703,323.34 (Ringgit Malaysia: Lima Belas Juta Tujuh Ratus Tiga Ribu Tiga Ratus Dua Puluh Tiga dan Sen Tiga Puluh Empat Sahaja) dengan melaksanakan 772 buah projek projek pembangunan dewan serbaguna dan balai JKKK di sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Perincian pelaksanaan projek dari tahun 2008 sehingga Oktober 2014 mengikut daerah adalah seperti di LAMPIRAN E.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.