Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

248) PPR SEKSYEN 8 KOTA DAMANSARA

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah tindakan kerajaan untuk menangani kes sewa atas sewa?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) merupakan 100% milikan anak syarikat kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor yang mana telah dilantik bagi menguruskan Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara pada 1 Mei 2013. Pada 30 Januari 2024, PHSSB telah menjalankan operasi bancian unit ke unit PPR Kota Damansara yang melibatkan sebanyak 480 unit berjaya dibanci daripada keseluruhan 1152 unit. Daripada 480 unit, sebanyak 400 unit adalah penama dan 80 unit lagi bukan penama. Baki 672 unit lagi terdiri daripada 576 unit tiada di rumah, 43 unit gagal memberikan kerjasama dan 53 unit adalah unit kosong. Bagi unit bukan penama, kebanyakannya adalah diduduki oleh pasangan atau anak-anak kerana penama asal telah meninggal dunia. Walau bagaimanapun, PHSSB akan meneruskan bancian bagi mana-mana unit yang tidak berjaya dibanci dan dijangka akan diselesaikan pada pertengahan Mac 2024.

    Manakala kes yang melibatkan sewa atas sewa, tindakan penamatan penyewaan akan dijalankan. Untuk rekod bagi pada tahun 2023, sebanyak enam (6) unit telah berjaya ditamatkan penyewaan kerana kesalahan sewa atas sewa.

  2. Adakah kerajaan ingin membuat pemutihan terhadap penduduk PPR Kota Damansara?

    Berkenaan cadangan untuk melaksanakan tindakan pemutihan terhadap penduduk PPR Kota Damansara, PHSSB sedang melaksanakan bagi unit-unit yang diduduki oleh pasangan atau anak disebabkan oleh penama asal telah meninggal dunia namun mereka perlu mematuhi proses penyewaan iaitu mengisi borang permohonan, menghadiri sesi tapisan syarat kelayakan dan sesi taklimat kemasukan sekiranya layak ditawarkan dan seterusnya membuat bayaran deposit kemasukan yang baru.

    Bagi unit yang dikenal pasti terlibat dengan sewa atas sewa berdasarkan bancian yang dibuat dan aduan daripada penduduk maka tindakan penamatan penyewaan akan dijalankan.

Lampiran

Tiada Lampiran.