Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
161) PPN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah perniagaan yang telah ditutup akibat COVID-19?
Soalan (a) dan (b) dijawab bersekali :
Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah pelan hala tuju untuk mengawal wabak COVID-19 sambil membuka kembali sektor ekonomi dan sosial secara progresif ke arah norma baharu. PPN melibatkan rancangan empat fasa untuk melonggarkan sekatan secara berhati-hati dan selamat serta bersandarkan kepada kadar vaksinasi penduduk. Selangor kini telah beralih ke fasa 4 pada 18 Oktober 2021.
Dalam usaha untuk menangani penularan wabak, meringankan beban rakyat dan memastikan ekonomi serta pembangunan negeri terus meluncur laju walaupun dihimpit pandemik, pada tahun 2020, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi – Selangor Prihatin Pertama, Kedua dan Ketiga. Fasa Gempur COVID dengan sembilan (9) inisiatif dan nilai kewangan sebanyak RM127.78 juta telah diumumkan pada 20 Mac 2020. Seterusnya, pada 1 April 2020, Pakej
Rangsangan Prihatin 2 dengan sebelas (11) inisiatif telah diumumkan untuk menampan kesan langsung wabak, manakala pakej ketiga diumumkan pada 13 Julai 2020. Ketiga-tiga pakej rangsangan ini dibiayai oleh peruntukan Kerajaan Negeri, sumbangan Anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri dan termasuk Kerajaan Persekutuan dengan jumlah keseluruhan nilai ekonomi bagi Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor ini ialah RM55.85 bilion.
Bagi fasa pertama, bantuan kewangan diberikan secara terus kepada rakyat dan wira barisan hadapan petugas kesihatan, keselamatan dan media. Fasa kedua merupakan usaha tambahan bagi menangani isu-isu sosial atau social impact serta usaha ekonomi bagi mengadaptasi kepada norma baharu kehidupan. Pelaksanaan ketiga pula adalah sebagai satu daya tahan atau economic resilience untuk Negeri Selangor membangunkan semula ekonomi setelah mengalami kejutan secara mendadak. Di bawah fasa ketiga, Kerajaan Negeri membangunkan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor yang menekankan kepada tiga (3) tonggak utama dalam menangani impak COVID-19. Pertama, Jaminan Bekalan Makanan (food security), kedua, Kemampanan Ekonomi ataupun economic stability dan ketiga, Pembangunan Keupayaan ataupun capacity building.
Usaha yang telah dirangka menerusi Pakej Selangor Prihatin dan Belanjawan Negeri 2021 diteruskan melalui pelancaran Pakej Kita Selangor 1.0 pada 20 Januari 2021. Pakej yang menyenaraikan dua belas (12) inisiatif bantuan rakyat dan memberi implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta kepada Kerajaan Negeri ini dirangka untuk memastikan suatu keseimbangan di antara bantuan kepada mereka yang memerlukan dan keupayaan merancakkan ekonomi. Antara intipati utama pakej ini merangkumi bantuan khas rakyat sepanjang PKP 2.0, usaha merangsang ekonomi, bantuan kepada mangsa banjir dan tabung khas COVID-19. Pada 9 Jun 2021, Pakej Kita Selangor 2.0 diumumkan berteraskan tiga (3) strategi meliputi dua puluh lima (25) program dengan nilai sejumlah RM551.56 juta yang dijangka memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat Selangor. Tiga (3) strategi tersebut merangkumi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat, menyelamatkan industri dan sektor ekonomi serta usahawan di Selangor dan kawalan kesihatan untuk mengekang penularan wabak COVID-19.
Kesemua inisiatif yang dilaksanakan ini mampu merangsang ekonomi dan memberi impak yang menyeluruh dalam membangunkan semula ekonomi negeri Selangor. Negeri Selangor sebagai salah satu negeri penyumbang KDNK terbesar Malaysia perlu segera menyediakan pemangkin untuk merangsang ekonomi dalam sektor-sektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK negeri Selangor. Oleh yang demikian, beberapa solusi kitaran ekonomi untuk pemulihan juga telah dirangka seperti berikut:
- Meningkatkan kecairan tunai penyedia perkhidmatan/kontraktor melalui Program Selangor Advanced dengan pembiayaan RM100 juta;
- Pemulihan tenaga kerja (upskilling) menerusi Program Youth Economy Smart Selangor (YESS) dengan penciptaan sekurang-kurangnya 10 ribu peluang pekerjaan yang melibatkan lokaliti Dewan Negeri Selangor;
- Merancakkan pembangunan hartanah menerusi penambahbaikan polisi pembangunan Rumah Mampu Milik termasuklah meningkatkan jumlah kediaman (availability) rumah untuk Smart Sewa;
- Usahawan Digital menerusi Program Digital Selangor yang bermatlamat untuk memacu ekonomi negeri menerusi inisiatif digitalisasi agar ekonomi negeri dapat memberi penciptaan nilai baharu kepada masyarakat;
- Konsep Pertanian 4.0 yang menjurus kepada kaedah pertanian masa hadapan seperti precision agriculture (penggunaan peralatan moden dan teknologi GPS), penanaman secara fertigasi dan kaedah tanaman menegak (vertical agriculture) dalam memastikan bekalan makanan atau food security negeri Selangor berada dalam tahap yang selamat dan dalam masa sama meningkatkan pendapatan agropreneur serta amalan pertanian lestari (sustainable agriculture);
- Penambahbaikan pengurusan terimaan hasil Kerajaan Negeri termasuklah usaha-usaha untuk memberi kemudahan kepada pemaju/individu bagi membayar premium tanah secara berperingkat tanpa menjejaskan hasrat untuk pemajuan tanah. Selain itu, strategi ini juga akan meningkatkan sistem penyampaian Kerajaan Negeri dalam pengurusan terimaan hasil;
- Usaha Kerajaan Negeri turut melibatkan industri kecil dan sederhana di Negeri Selangor di mana Kerajaan Negeri membantu bebanan kos syarikat-syarikat IKS menerusi Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja. Usaha ini adalah langkah pertama syarikat-syarikat IKS merebut kesempatan untuk meningkatkan persaingan digitalisasi dan revolusi industri 4.0;
- Kerajaan Negeri juga akan terus memperkasakan perkhidmatan bekalan air kepada rakyat Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya melalui pembangunan infrastruktur air yang lestari dengan penerbitan Sukuk Kelestarian Air Selangor di bawah rangka kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment Sukuk, SRI Sukuk). Nilai sukuk yang akan diterbitkan berjumlah sehingga RM10 bilion dengan tempoh matang antara 1 hingga 20 tahun. Hasil daripada penerbitan sukuk ini akan digunakan untuk membiayai infrastruktur air mesra alam.
Selain itu juga, Selangor Bekerja 2021 adalah satu program jelajah kerjaya hasil dari inisiatif Kerajaan Negeri Selangor melalui Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Sumber Manusia untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor dalam usaha untuk menaikkan taraf ekonomi penduduk dan membangunkan sektor-sektor ekonomi di negeri Selangor. Program akan bermula pada 23 Oktober 2021 sehingga 27 November 2021 di enam lokasi. Terdapat 25 ribu peluang kerja dari lebih 50 majikan ditawarkan di dalam program jelajah ini.
Usaha-usaha ini dijangka dapat membantu Kerajaan Negeri untuk merancakkan ekonomi negeri Selangor yang menjadi tunjang kepada ekonomi negara. Selain itu, Kerajaan Negeri juga melaksanakan instrumen kawalan perbelanjaan yang berhemah berteraskan konsep integriti dan mengekang perbelanjaan yang tidak perlu supaya pengurusan perolehan memberikan pulangan terbaik bagi setiap ringgit yang dibelanjakan (value for money). Sehingga kini, tiada jangka masa tertentu yang dapat diberikan oleh mana-mana pihak dalam menentukan pemulihan ekonomi di dalam negara mahupun di negeri Selangor. Pemulihan tersebut bergantung kepada pelbagai faktor luaran dan dalaman yang perlu dititikberatkan oleh semua pihak terlibat sama ada pihak kerajaan, penggiat industri mahupun rakyat. Walau bagaimanapun, negeri Selangor sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara tidak punya pilihan lain melainkan menjadi peneraju yang merintis jalan ke arah pemulihan yang pantas. Demi merealisasikan cita-cita ini kita memerlukan sokongan setiap individu, setiap institusi serta agensi kerajaan dan pentingnya Kerajaan Negeri mempunyai hubungan simbiotik yang profesional demi kebaikan rakyat negeri Selangor khususnya.
-
Bagaimana tempoh PPN membawa pemulihan kepada ekonomi Negeri Selangor?
Jawapan adalah sama seperti di atas