Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

254) PORTFOLIO PEMODENAN PERTANIAN

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Jakiran Bin Jacomah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan program dan dasar portfolio Pemodenan Pertanian tahun 2015?

    Dasar portfolio Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani tahun 2015 adalah Merakyatkan Pertanian Selangor iaitu dengan memberikan penumpuan kepada perkara-perkara seperti berikut :-

    • Memastikan keperluan bekalan makanan yang cukup, selamat dan berkualiti tinggi;
    • Meningkatkan hasil pengeluaran ke tahap maksima dengan mengoptimumkan penggunaan sumber secara lebih efisyen;
    • Mengurangkan penggunaan tenaga buruh dengan penggunaan peralatan moden seperti sistem hidroponik;
    • Memaksimakan penggunaan tanah seperti penggabungan penternakan dan tanaman;
    • Meningkatkan pemasaran hasil pertanian dan hasil produk hiliran (Industri Asas Tani) dengan mewujudkan pusat-pusat pengumpulan dan mempertingkatkan kualiti pembungkusan produk selain dari penjenamaan produk; dan
    • Melibatkan lebih ramai golongan generasi muda untuk menceburi sektor pertanian dan industri asas tani (IAT) melalui program-program seminar, kursus dan skim-skim bantuan asas pertanian dan industri asas tani (IAT).
  2. Apakah ada kelemahan pada dasar dan pelaksanaan program sebelum ini?

    Secara keseluruhannya, pelaksanaan program-program yang berkaitan dengan dasar sebelum ini telah berjalan dengan lancar dan penambaikan untuk memantapkan lagi dasar dan pelaksanaan program akan sentiasa dilakukan dari masa ke semasa.

     

  3. Nyatakan pencapaian portfolio di tahun 2014?

    Pencapaian portfolio di tahun 2014 ini adalah seperti berikut :-

    • Telah melaksanakan Program Bantuan Nelayan, Petani Dan Penternak kepada seramai 601 dengan jumlah RM1,111,560.00.
    • Program lawatan ke kawasan-kawasan pertanian khususnya ke Taman Kekal Pertanian Makanan dan kawasan pertanian
    • Melaksanakan Program Jelajah Tani Selangor 2014 di 4 daerah yang berkaitan dengan pertanian iaitu di Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Kuala Langat. Melalui program tersebut juga, diadakan sesi bertemu dengan para petani, nelayan dan penternak bagi mendengar dan mengenalpasti masalah serta cadangan secara terus dari golongan sasar. Program tersebut juga melibat jabatan-jabatan dan agensi di bawah Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani (IAT).
    • Program Selangor Agrofest 2014 yang akan di adakan bermula dari 18 hingga 21 Disember 2014 dengan melibatkan kesemua jabatan dan agensi bawah Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani (IAT) serta 100 usahawan tani dan industri asas tani (IAT).
    • Terlibat secara langsung di dalam Program MAHA 2014 di MAEPS Serdang yang berlangsung pada 20 hingga 30 November 2014, juga melibatkan jabatan dan agensi bawah Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani (IAT) serta 12 usahawan tani dan industri asas tani (IAT).

     

Lampiran

Tiada Lampiran.