Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

242) PORTFOLIO KEMISKINAN

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Dato' Haji Amiruddin Bin Setro

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah peruntukan untuk portfolio ini dari 2014-2016

    Kerajaan Negeri Selangor amat serius dan sentiasa komited dalam usaha menangani masalah kemiskinan secara total dan efektif. Dalam hal ini, inisiatif dan usaha Kerajaan Negeri dapat dilihat melalui pelaksanaan pelbagai program bantuan dan pengupayaan ekonomi oleh pelbagai Jawatankuasa Tetap (STANDCO) serta Jabatan/ Agensi.

    Antara program-program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan adalah seperti Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Kemahiran Teknikal melalui INPENS International College, Program Pemberian Bantuan untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan dan Persekolahan serta Program Peningkatan Kemahiran untuk Golongan Berpendapatan Rendah. Melalui pelaksanaan program-program ini, ianya diharap berupaya mengurangkan beban kos hidup yang semakin meningkat serta mengupayakan taraf ekonomi golongan sasar. Ini secara tidak langsung dilihat berupaya menghasilkan impak positif dan berkesan terhadap taraf ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat secara berterusan.

    Secara ringkasnya, jumlah peruntukan pembangunan (P01) Jawatankuasa Tetap Kemiskinan bagi tahun 2014 hingga tahun 2016 adalah seperti berikut:-

     

    BIL. TAHUN PERUNTUKAN
    1. 2014 RM10,842,000.00
    2. 2015 RM13,368,000.00
    3. 2016 RM16,080,000.00
    JUMLAH KESELURUHAN RM40,290,000.00
  2. Senaraikan semua program di bawah portfolio ini pada tahun 2016 serta kosnya.

    Secara keseluruhannya, terdapat tujuh (7) program utama yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kemiskinan pada tahun 2016 yang melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM15,851,294.54. Ringkasan program dan jumlah perbelanjaan adalah seperti berikut : –

    BIL. PROGRAM JUMLAH PERBELANJAAN
    TAHUN 2016
    1. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Tahun 2016 RM1,815,163.00
    2. Program Pemberian Bantuan Secara Baucer untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina 2016 RM2,622,900.00
    3. Program Pemberian Bantuan Secara Baucer untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2016 RM3,136,300.00
    4. Program Pemberian Bantuan Secara Baucer untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan Deepavali Tahun 2016 RM2,234,400.00
    5. Program Back to School untuk Rakyat Miskin Tahun 2016 RM1,680,000.00
    6. Program Peningkatan Kemahiran untuk Golongan Berpendapatan Rendah Tahun 2016 RM524,615.00
    7. Program Kemahiran Teknikal Tahun 2016

    –  Kolej Antarabangsa INPENS

    RM3,837,916.54
    JUMLAH KESELURUHAN RM15,851,294.54

Lampiran

Tiada Lampiran.