Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

56) PORTFOLIO KEBAJIKAN

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar-dasar dan perancangan EXCO bagi portfolio Kebajikan tahun 2020-2021?

    Untuk makluman Yang Berhormat Hulu Bernam, EXCO bagi portfolio Kebajikan Masyarakat pada tahun 2021 lebih bertumpu untuk memberdaya pusat-pusat kebajikan dan pusat-pusat jagaan di dalam Negeri Selangor. Semua sedia maklum bahawa pandemik Covid-19 telah menjejaskan kestabilan syarikat-syarikat korporat, maka secara tidak langsung menyebabkan pusat kebajikan dan pusat jagaan juga terkesan. Dana yang diterima daripada syarikat-syarikat korporat ini semakin berkurangan.

     

    Penyusutan penerimaan dana ini yang menjadi punca pendapatan telah menyebabkan pengurusan pusat-pusat kebajikan yang diuruskan oleh persatuan/ pertubuhan/ NGO kurang memuaskan dan tidak dapat memenuhi keperluan seharian penghuni-penghuni pusat kebajikan ini. Selain itu, kebajikan golongan yang memerlukan ini seperti warga emas, OKU, anak-anak yatim dan gelandangan semakin berkurangan dan dipinggirkan sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara ini disebabkan masalah dan halangan yang menjejaskan pelaksanaan program-program kebajikan kepada golongan sasar masing-masing. Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kebajikan mereka yang memerlukan ini akan diberi perhatian yang lebih pada tahun ini.

     

    Oleh itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan beberapa program kebajikan baharu untuk mencapai tujuan membantu memberdaya pusat kebajikan dan pusat jagaan di dalam Negeri Selangor. Program-program kebajikan ini adalah seperti berikut:

     

    1. Program Dana Kesukarelawanan Kebajikan

     

    Negeri Selangor merupakan negeri yang mempunyai banyak persatuan dan badan bukan kerajaan yang sangat aktif dalam melaksanakan kebajikan secara sukarela kepada kumpulan sasar masing-masing. Namun, dana yang diterima oleh Persatuan/ Pertubuhan/ NGO daripada syarikat-syarikat korporat untuk pelaksanaan program-program kebajikan semakin berkurangan dan menyusut disebabkan kebanyakan syarikat-syarikat korporat tersebut terjejas dari aspek kewangan masing-masing disebabkan pandemik Covid-19. Dalam membantu meringankan beban di samping untuk menghargai perkhidmatan mereka yang secara tidak langsung turut membantu Kerajaan Negeri dalam menyantuni dan menjaga kebajikan golongan yang kurang bernasib baik ini, maka diwujudkan Program Dana Kesukarelawanan Kebajikan.

     

    Dana ini bertujuan untuk membantu Persatuan/ Pertubuhan/ NGO yang berdaftar secara sah di dalam Negeri Selangor untuk melaksanakan program kebajikan berskala kecil yang dilaksanakan di dalam Negeri Selangor.

     

    Kerajaan Negeri telah meluluskan 23 permohonan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM230,000.00. Antara program-program kebajikan yang dirancang untuk dilaksanakan oleh Persatuan/ Pertubuhan/ NGO ini adalah program bakul makanan dan keperluan asas, pemberian komputer riba/ tablet, program kembali ke sekolah dan bantuan kebajikan kepada yang memerlukan. Golongan yang disasarkan adalah golongan miskin, orang kurang upaya (OKU)/ anak-anak istimewa, anak-anak yatim dan gelandangan.

     

    1. Program Sinergi Prihatin

     

    Sebagai sebuah negeri yang mempunyai banyak persatuan dan NGO yang sangat aktif dalam melaksanakan kebajikan secara sukarela kepada kumpulan sasar masing-masing, Kerajaan Negeri Selangor ingin membuka peluang kepada Persatuan/ Pertubuhan/ NGO Kebajikan tersebut untuk menganjurkan program-program kebajikan secara usahasama dengan Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat. Dengan kolaborasi dan sinergi antara kedua-dua pihak ini melalui Program ini, golongan sasar dan yang memerlukan akan mendapat lebih keistimewaan.

     

    Program ini memberi manfaat kepada kedua-dua pihak Kerajaan Negeri dan Persatuan/ Pertubuhan/ NGO Kebajikan untuk memberikan bantuan dan perkhidmatan yang terbaik kepada golongan yang memerlukan ini. Persatuan/ Pertubuhan/ NGO Kebajikan yang berdaftar secara sah di dalam Negeri Selangor akan melaksanakan program kebajikan berskala sederhana atau besar yang akan dilaksanakan di dalam Negeri Selangor dengan kolaborasi bersama Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor. Kerajaan Negeri telah meluluskan tiga (3) permohonan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM150,000.00.

     

    1. Program Pusat Lestari Kebajikan

     

    Program Pusat Kebajikan Lestari lebih tertumpu kepada pemerkasaan dan pembangunan pusat-pusat kebajikan dalam memastikan persekitaran yang kondusif dan selesa dapat dirasai oleh golongan yang memerlukan ini. Program ini bertujuan memberdaya pusat-pusat kebajikan berdaftar dan beroperasi di dalam Negeri Selangor dengan memberikan dana untuk pembelian peralatan-peralatan/ mesin khas seperti :

    1. peralatan perubatan dan kesihatan
    2. alatan tulis dan perkakasan sekolah
    3. buku-buku rujukan sekolah/ buku ilmiah
    4. kemudahan/ peralatan sukan untuk aktiviti riadah
    5. alatan mainan untuk tujuan pendidikan
    6. ubat-ubatan
    7. keperluan penjagaan diri
    8. alatan pengupayaan kendiri
    9. bahan bacaan dalam Braille, Audio, Tulisan Besar dan Digital yang boleh diakses oleh golongan OKU Penglihatan dan Pendengaran
    10. Penyelenggaraan kecil.

     

    Kerajaan Negeri telah meluluskan 39 permohonan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,564,890.00 di bawah Program Pusat Kebajikan Lestari ini.

     

    1. Program Santuni Pusat Kebajikan

     

    Program Santuni Pusat Kebajikan ini merupakan program penghayatan Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat untuk turun ke padang beramah mesra dan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik seperti warga emas, anak-anak yatim piatu dan orang kurang upaya (OKU) di pusat kebajikan masing-masing.

     

    Walau bagaimanapun, disebabkan Covid-19 yang mengekang perjumpaan secara fizikal pada tahun ini, Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat akan memberikan bantuan RM5,000.00 kepada 22 buah pusat kebajikan yang sah di dalam Negeri Selangor yang belum menerima sebarang bantuan di bawah program-program anjuran Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor pada tahun ini.

     

    Selain itu, Jawatankuasa Tetap Kebajikan Masyarakat akan menyediakan platform kepada rakyat Selangor yang mengalami penindasan dan ketidakadilan untuk menuntut keadilan sewajarnya melalui Program Dana Bantuan Guaman Selangor. Di kala pandemik Covid-19 melanda negara, didapati ramai yang mengalami masalah kehilangan pekerjaan dan juga masalah kekeluargaan seperti penderaan suami/ isteri dan hilang hak penjagaan anak. Dengan kerjasama Selangor Bar Council dan Selangor Legal Aid Centre, Kerajaan Negeri akan menyediakan perkhidmatan guaman kepada rakyat Selangor yang berpendapatan rendah yang ingin menuntut kembali hak mereka seadilnya melalui Program Dana Bantuan Guaman Selangor. Selangor Legal Aid Centre akan menyediakan perkhidmatan guaman kepada rakyat Selangor yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan, di mana Kerajaan Negeri akan memberikan subsidi sebanyak RM1,500 bagi setiap kes.

  2. Bagaimanakah pencapaian portfolio ini pada tahun 2021 dan tahun sebelumnya?

    Untuk makluman Yang Berhormat Hulu Bernam, pada tahun ini dijangka pencapaian bagi perbelanjaan di bawah vot Pembangunan bagi Portfolio Kebajikan Masyarakat ialah 64%. Prestasi perbelanjaan di bawah 90% ini disebabkan perkara-perkara seperti kekangan pelaksanaan program secara fizikal serta saranan pihak Perbendaharaan Negeri untuk melaksanakan penjimatan sebanyak 30% adalah antaranya. Di samping itu, pengenalan program-program kebajikan baharu di bawah saya sebagai EXCO Kebajikan yang baharu, memerlukan penelitian dan perancangan pelaksanaan agar Kerajaan Negeri dapat memberikan yang terbaik kepada golongan yang lebih memerlukan.

     

  3. Berapakah jumlah dan peratusan rakyat Selangor yang telah menerima bantuan kebajikan sejak tahun 2015 hingga kini?

    Bagi membentangkan jumlah dan peratusan rakyat Selangor yang telah menerima bantuan kebajikan sejak tahun 2015 sehingga tahun 2021 adalah bagi bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan penerima program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) serta Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Tambahan pada tahun 2021 adalah penerima bagi program-program kebajikan yang baharu diperkenalkan di bawah EXCO Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, seperti mana yang telah dinyatakan bagi pertanyaan (a) sebentar tadi.

     

    Bilangan rakyat Selangor yang telah menerima bantuan kebajikan yang tertinggi adalah pada tahun 2019 dengan bilangan penerima seramai 155,382 orang dengan peratusan 2.38%, manakala tahun yang terendah bilangan penerima adalah pada tahun 2015 iaitu seramai 114,803 orang dengan peratusan 1.86%. Berikut merupakan jumlah dan peratusan rakyat Selangor yang telah menerima bantuan kebajikan sejak tahun 2015 sehingga tahun 2021:

     

    TAHUN BILANGAN PENERIMA ANGGARAN PENDUDUK NEGERI SELANGOR (Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia) PERATUS BILANGAN PENERIMA
    2015 114,803 6,178,000 1.86%
    2016 132,734 6,308,300 2.10%
    2017 131,305 6,426,600 2.04%
    2018 151,446 6,518,500 2.32%
    2019 155,382 6,522,100 2.38%
    2020 154,072 6,554,800 2.35%
    2021

    (sehingga Oktober)

    122,956 6,558,200 1.87%

     

    Maklumat Tambahan:

    Perincian lanjut berkenaan jumlah dan peratusan rakyat Selangor yang telah menerima bantuan kebajikan sejak tahun 2015 sehingga 2021 adalah seperti di Lampiran 1, Lampiran 1a dan Lampiran 1b yang dilampirkan

Lampiran

Tiada Lampiran.