Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
63) PORTFOLIO ALAM SEKITAR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini dan tahap pelaksanaan The Selangor Climate Change Action Plan and Policy 2030?
Kesan perubahan iklim yang dihadapi di Negeri Selangor boleh dilihat melalui perubahan ekstrem dalam pola cuaca seperti peningkatan aras laut, hujan lebat dan ribut kencang yang telah mengakibatkan kejadian banjir yang melibatkan semua kawasan di negeri Selangor. Kekerapan hujan yang turun pada masa sekarang tidak lagi mengikut musim monsun. Kerajaan Negeri sedar akan impak perubahan iklim yang akan dihadapi jika tidak ditangani dengan baik. Ini menjadi satu keperluan untuk Negeri Selangor mempunyai struktur tadbir urus dasar dan halatuju yang memacu ke arah keseimbangan pembangunan dan kelestarian alam sekitar.
Bagi memastikan Kerajaan Negeri menangani isu perubahan iklim dengan lebih berkesan, satu Kajian Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor telah dijalankan oleh Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI-UKM) untuk mengenal pasti tindakan bersepadu yang perlu diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mencapai pembangunan yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim. Tempoh pelaksanaan kajian ini adalah selama tujuh (7) bulan bermula 1 Disember 2022 hingga 30 Jun 2023. Kajian ini dijalankan secara berfasa iaitu:
- Fasa Pertama: Mendapatkan hasil kajian bagi kawasan perintis iaitu Kuala Selangor bagi kawasan persisiran pantai yang berisiko berhadapan dengan kenaikan paras air laut, Shah Alam bagi kawasan berisiko banjir kilat dan Ampang Jaya bagi kawasan berisiko tanah runtuh; dan
- Fasa Kedua : Penggubalan dasar dan pelan tindakan untuk tempoh jangka masa panjang sehingga 2040 serta garis panduan pelaksanaan pembangunan di peringkat tempatan dengan mengambil kira elemen perubahan iklim.
Seterusnya, berikut adalah hasil analisis Kajian Perintis Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor:
- Kajian ini bertumpukan kepada tindakan bagi memperkukuhkan pelaksanaan pembangunan negeri dengan mengambil kira pelbagai aspek perubahan iklim khususnya berkaitan adaptasi, mitigasi dan pengurusan risiko bencana iklim bagi memaksimumkan keberhasilan sosio-ekonomi yang saksama dan kelestarian ekosistem;
- Ketiadaan strategi untuk adaptasi perubahan iklim telah menghalang perancangan sistematik bagi adaptasi di peringkat negeri dan tempatan;
- Kajian ini juga telah mengenalpasti sembilan (9) dasar dan pelan utama di Negeri Selangor yang mempunyai hubung kait dengan perubahan iklim antaranya ialah Rancangan Selangor Pertama, Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 dan Smart Selangor Action Plan to 2025;
- Inventori data geospatial telah dibangunkan untuk memberikan tinjauan segera terhadap data yang dikumpulkan, sumber data dan di mana data itu disimpan. Maklumat di dalam Inventori Data Geospatial Kuala Selangor, Ampang Jaya dan Shah Alam dikelaskan kepada empat tema utama iaitu sempadan, persekitaran buatan, persekitaran semulajadi dan kejadian bencana dan bahaya; dan
- Hasil dapatan kajian perintis di daerah Shah Alam, Kuala Selangor dan Ampang Jaya akan dijadikan asas dalam merangka Dasar dan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor dan sembilan (9) PBT yang lain.
Secara kesimpulannya, dengan hasil dapatan kajian ini, rangka kerja dan pelan tindakan sedang disediakan oleh Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau serta pasukan perunding yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri. Dasar ini dijangka siap sepenuhnya menjelang bulan Mac 2024. Seterusnya, sesi perbincangan kumpulan sasar (FGD) yang akan melibatkan pelbagai Jabatan dan Agensi Kerajaan termasuklah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dilaksanakan bagi menentukan aspek kebolehupayaan tadbir urus, kemampuan modal insan dan kewangan serta mendapatkan maklum balas berkaitan tindakan mitigasi dan adaptasi peringkat tempatan. Dengan pembangunan dasar ini, Negeri Selangor akan menjadi satu-satunya negeri yang mengimbang dan mengintegrasikan tindakan mitigasi dan adaptasi dalam dasar perubahan iklim negeri.
-
Apakah status dan tahap keberkesanan fungsi Selangor Climate Change Action Council atau IKLIM Selangor?
Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 13/2022 bertarikh 18 Mei 2022 telah meluluskan penubuhan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor atau Majlis Tindakan IKLIMSELANGOR bagi menyelaras dan membantu Kerajaan Negeri merancang, memantau dan memberikan saranan terhadap isu dan program alam sekitar dan perubahan iklim di Negeri Selangor. Terma rujukan Majlis Tindakan IKLIMSELANGOR menggariskan bahawa mesyuarat ini dipengerusikan oleh Yang Berhormat Exco Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau dan dianggotai oleh lapan (8) ahli jemputan khas yang mempunyai kepakaran dalam bidang iklim, bencana dan perbandaran serta ahli-ahli tetap yang terdiri daripada PBT, Jabatan dan Agensi Negeri serta Persekutuan. Mesyuarat Majlis Tindakan IKLIMSELANGOR perlu bersidang sekurang-kurangnya satu (1) kali setahun atau mengikut keperluan dari masa ke semasa.
Peranan utama Majlis Tindakan IKLIMSELANGOR adalah sebagai badan penasihat dan badan pemikir yang bertindak dalam menggariskan perancangan dasar dan strategi yang holistik di peringkat negeri yang merangkumi pelbagai elemen dan sektor-sektor yang akan menerima impak perubahan iklim. Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor Bil. 1 telah diadakan pada 21 Julai 2022 bagi membincangkan hala tuju dan agenda dalam menangani isu-isu perubahan iklim yang sedang dialami seluruh negara, khususnya di negeri Selangor. Agenda utama Majlis Tindakan IKLIMSELANGOR adalah seperti berikut:
- Merangka perancangan dasar dan strategi yang holistik
di peringkat negeri yang merangkumi pelbagai sektor serta langkah-langkah mitigasi dan adaptasi dalam menangani isu perubahan iklim; - Memperkukuh dan mempertingkatkan keupayaan institusi dan pelaksana melalui penyelarasan tindakan-tindakan dasar yang bersepadu bagi membawa agenda kelestarian alam sekitar; dan
- Menerajui perkara berkaitan halatuju alam sekitar dan perubahan iklim, penyelarasan dan pelaksanaan rancangan pembangunan negeri, program/inisiatif yang meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman awam.
Platform Majlis Tindakan IKLIMSELANGOR adalah penting bagi mengenal pasti dan menyelaras peranan setiap Jabatan dan Agensi dalam penetapan dasar, perancangan dan hala tuju berkaitan perubahan iklim berikutan isu perubahan iklim merupakan isu merentas sektoral dan perlu diselaraskan secara strategik dan bersepadu. Majlis Tindakan IKLIMSELANGOR masih relevan dan keberkesanannya dalam memberi pandangan dan idea dalam aspek memacu pertumbuhan sosio-ekonomi, mengekalkan aspek kelestarian alam sekitar yang utuh dan pada masa yang sama memperkasakan aspek daya tahan iklim dalam masyarakat di Negeri Selangor.
IKLIMSELANGOR berpotensi dalam menyumbang idea dan pandangan berkaitan langkah-langkah penyelesaian untuk menangani isu perubahan iklim dan sebarang ketetapan di peringkat jawatankuasa ini adalah inklusif memandangkan keanggotaan IKLIMSELANGOR adalah seimbang yang terdiri daripada pelbagai pemegang taruh dari pihak Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pakar-pakar akademik.
- Merangka perancangan dasar dan strategi yang holistik