Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

144) PORTFOLIO ALAM SEKITAR

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar mempunyai apa-apa pelan/ misi terkini yang disasarkan pada tahun 2022? (contoh: inisiatif mengurangkan beban sisa elektronik dan lain-lain)? Sekiranya, sila senaraikan

    Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar sentiasa komited dalam melaksanakan program-program bagi memelihara dan memulihara alam sekitar. Jawatankuasa ini mempunyai pelbagai program dan projek yang boleh memberikan impak kepada persekitaran, penduduk dan warga Negeri Selangor. Selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk melestarikan alam sekitar, Jawatankuasa ini mensasarkan program-program yang melibatkan penghijauan alam sekitar dan menggalakkan amalan gaya hijau bagi mentransformasikan Negeri Selangor sebagai negeri hijau dan negeri rendah karbon.

    Pada masa sekarang, bermula bulan Mac 2021, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengumumkan Sabtu terakhir setiap bulan sebagai Hari Pengumpulan Sisa Elektrikal dan Elektronik Isi Rumah (Household E-Waste). Susulan daripada itu, mulai bulan April 2021, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor telah melaksanakan Kempen Pengumpulan Buangan Elektronik dan Elektronik (E-Waste) pada Sabtu terakhir setiap bulan sebagai inisiatif mengurangkan beban sisa elektronik khasnya.

    Selain itu, berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Bil. 4/2022 bertarikh 26 Januari 2022 yang mana telah bersetuju untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Khas di bawah portfolio Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar iaitu Jawatankuasa Khas Perubahan Iklim. Jawatankuasa ini akan menfokus dan mengkaji kesan isu perubahan iklim dan pemanasan global di negeri Selangor.

    Selaras dengan itu, antara perancangan yang telah digariskan untuk tahun 2022 adalah:

    (i) Mewujudkan Green Council Negeri Selangor;
    (ii) Pemuliharaan hutan dan biodiversiti;
    (iii) Penambahbaikan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik; dan
    (iv) Program-program Kitar Semula dan E-Waste.

  2. Apakah jenis geran-geran yang terbuka untuk permohonan di bawah portfolio alam sekitar tahun 2022?

    Di bawah portfolio Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Perbahan Iklim, terdapat Program Geran Kecil Alam Sekitar (GKAS) dan Teknologi Hijau (GKTH) 2021/2022 yang telah dilancarkan pada 1 Disember 2021. Tempoh pelaksanaan program dibawah GKAS dan GKTH yang telah diluluskan adalah bermula Mac 2022.

    Pemohon-pemohon GKAS dan GKTH adalah terdiri daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan penduduk, Institusi Pendidikan dan Jawatankuasa Rumah-Rumah Ibadat Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.