Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011
11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011
59) POLISI PERUMAHAN KERAJAAN NEGERI
Tahun: 2011
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan nisbah peratusan kuota bumiputera dan bukan bumiputera untuk projek perumahan kos rendah, kos sederhana dan kos tinggi mengikut pecahan daerah bagi tahun 2007-2011.
Untuk makluman Y.B, pada masa kini, kerajaan negeri menggunapakai ‘Blue Print’ Perumahan Negeri Selangor sebagai panduan dalam menetapkan nisbah peratusan kuota Bumiputera dan bukan Bumiputera untuk projek perumahan kos rendah, kos sederhana dan kos tinggi. ‘Blue Print’ Perumahan Negeri Selangor yang diwujudkan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dihasilkan melalui satu kajian yang komprehensif dengan mengambilkira faktor penempatan penduduk, ekonomi semasa serta aktiviti sosial setempat disamping penganalisian terhadap kedapatan tanah- tanah berpotensi yang boleh dibangunkan.
Oleh itu, pecahan peratusan kuota Bumiputera dan bukan Bumiputera sesebuah pembangunan itu adalah bersandarkan kepada ‘Blue Print’ Perumahan Negeri Selangor seperti berikut :
Daerah Pecahan Penetapan Kuota Rumah (%) Kos Rendah Lain- lain Kos B BB B BB Gombak 40 – 60 50 – 60 30 – 40 40 – 60 Hulu Langat 50 – 70 30 – 50 40 – 50 50 – 60 Petaling 50 – 80 20 – 50 40 – 50 50 – 60 Klang 50 – 80 20 – 40 40 – 50 50 – 60 Sepang 50 – 70 30 – 50 30 – 50 50 – 70 Kuala Langat 50 – 70 30 – 50 30 – 50 50 – 70 Hulu Selangor 50 – 70 30 -50 30 – 50 50 – 70 Kuala Selangor 40 – 60 40 – 60 30 – 40 60 – 70 Sabak Bernam 40 – 70 30 – 60 40 – 60 40 – 60 *Nota : B = Bumiputera, BB = Bukan Bumiputera
-
Jabatan manakah yang bertanggungjawab untuk mengkaji serta menentukan Pelan Tindakan Perumahan untuk Negeri Selangor dan berapa kerapkah kajian tentang dasar perumahan negeri dijalankan bagi memenuhi keperluan semasa?
Selain ‘Blue Print’ Perumahan Negeri Selangor, kajian terhadap Pelan Tindakan Perumahan untuk negeri Selangor merupakan satu agenda yang besar dan melibatkan banyak agensi- agensi kerajaan mahupun swasta. Buat masa ini Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang dalam menyediakan Kajian Perumahan Mampu Milik Berdasarkan Pendapatan Isi Rumah Di Kawasan Lembah Klang, Selangor dengan mengambilkira dasar- dasar perumahan yang sedia ada. Kajian tersebut akan disiapkan pada November 2011. Kajian ini akan merangkumi empat skop utama iaitu pembeli, pemaju, institusi kewangan dan badan kerajaan di samping memasukkan maklumatmaklumat daripada ‘Blue Print’ Perumahan Negeri Selangor dan rumah kos rendah dan pada akhirnya akan menyumbang kepada wujudnya Dasar Perumahan Negeri Selangor. Dasar tersebut akan disiapkan pada pertengahan tahun 2012 dan dikemaskini/ dinilai semula setiap lima tahun sekali agar ianya sentiasa relevan.
-
Apakah pendekatan yang diambil oleh kerajaan bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah?
Dalam usaha kerajaan negeri untuk memastikan setiap rakyat di negeri Selangor tertutamanya golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah, kerajaan negeri telah menetapkan beberapa kaedah bermula daripada syarat pembangunan tanah hinggalah kepada penjualan perumahan jenis kos rendah dan mampu milik demi memastikan setiap kepentingan golongan masyarakat terpelihara.
Dari segi pembangunan tanah, kerajaan negeri telah mensyaratkan kepada pemaju agar pembangunan yang berkeluasan 10 ekar dan ke atas, pemaju dikehendaki membina Rumah Kos Rendah (RKR), Rumah Kos Sederhana Rendah (RKSR) dan Rumah Kos Sederhana (RKS) di samping bebas untuk membangunkan rumah jenis lain. Manakala pembangunan yang kurang daripada 10 ekar, pemaju disyaratkan untuk membina 30 peratus RKS. Segala syarat- syarat berikut dikenakan kepada pemaju agar segenap lapisan masyarakat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah di negeri Selangor ini mampu untuk memiliki rumah idaman mengikut kemampuan masingmasing.
Selain itu, kerajaan negeri juga menetapkan dan mengawal harga jualan terutamanya RKR, RKSR dan RKS supaya pemaju tidak menjual rumah- rumah tersebut pada harga yang tinggi. Harga jualan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri adalah seperti berikut :
Jenis Bangunan Harga (RM) RKR 35,000.00 hingga 42,000.00 RKSR 43,000.00 hingga 72,000.00 RKS 73,000.00 hingga 100,000.00 Dalam memastikan pengagihan RKR, RKSR dan RKS menepati golongan sasaran, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dipertanggungjawabkan untuk menjalankan operasi pemantauan projek sehinggalah aktiviti penawaran kepada golongan berpendapatan rendah.
Pada masa ini, kerajaan negeri melalui LPHS sedang dalam membuat kajian berkaitan rumah mampu milik di mana ianya mengambilkira faktor pembeli (permintaan) dari segi keupayaan kuasa membeli oleh golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana, reka bentuk rumah yang diingini serta mengkaji kawasan permintaan yang menjadi tumpuan golongan tersebut. Hasil kajian akan dapat membantu kerajaan negeri dalam merangka dasar/ polisi baru yang mana pembinaan rumah adalah berteraskan kepada permintaan/ kehendak masyarakat serta dapat memastikan setiap lapisan masyarakat di negeri Selangor mampu memiliki kediaman yang selesa untuk diduduki selaras dengan visi Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan.