Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
149) POLISI PEMPROSESAN KITAR SEMULA SISA PLASTIK DARI LUAR NEGARA
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah polisi Kerajaan terhadap pemprosesan kitar semula sisa plastik dari luar negara?
Seperti yang semua sedia maklum, kebanyakan sisa plastik yang diimport dari luar negara adalah dari negara China, Eropah dan Australia melalui pelabuhan di negeri ini. Pengilang yang memproses bahan plastik yang diimport dari luar negara, perlu mendapatkan lesen daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) di bawah H.S. Code 3915.
Kerajaan Negeri telah membangkitkan kerisauan berkaitan isu ini kepada KPKT dan dalam isu ini, Kerajaan Negeri berpendirian bahawa sisa buangan luar negara tidak sepatutnya diimport ke Malaysia.
Kerajaan Negeri menyokong keputusan kerajaan persekutuan dalam memperketatkan syarat bagi kelulusan lesen mengimport sisa plastik dari luar negara. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih menggalakkan industri kitar semula bagi mengurangkan sisa sampah di Negeri Selangor. Namun bagi membolehkan sesebuah kilang plastik beroperasi, pemohon perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkaitan kesesuaian tapak dan peralatan pemprosesan yang digunakan, selain wajib mengemukakan maklumat sumber sisa plastik yang dibeli.