Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009
156) POLISI BERSIH KERAJAAN TEMPATAN
Tahun: 2009
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
erajaan Negeri telah melancarkan kempen kebersihan peringkat negeri pada 11 Januari 2009 yang melibatkan semua PBT-PBT. Apakah tindakan lanjut dilakukan selepas pelancaran ini?
Pelancaran Program Zon Bersih dilaksanakan adalah untuk menjadikan Negeri Selangor sebuah negeri yang paling bersih berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Setiap Pihak Berkuasa Tempatan perlu mengenal pasti sekurang-kurangnya satu kawasan yang tahap kebersihannya amat kurang memuaskan dalam PBT untuk dijadikan sebagai Zon Bersih. PBT masing-masing perlu memastikan lokasi atau zon yang dipilih sentiasa dalam keadaan bersih dengan melibatkan penyertaan masyarakat bagi memupuk kesedaran dan budaya cintakan kebersihan. Pelaksanaan program ini adalah berpandukan ‘Garis Panduan Pelaksanaan Zon Bersih’ sepenuhnya dan dipantau oleh Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan telah menyalurkan peruntukan sejumlah RM100,000 kepada setiap PBT bagi tujuan pembelian tong sampah, pemasangan papan tanda, penyelenggaraan landskap, cat jalan (pavement marking) dan lain-lain keperluan bagi memastikan kawasan yang dipilih dapat meningkatkan tahap kebersihannya. PBT telah melantik Jawatankuasa Pemantau Zon Bersih yang diselaraskan oleh Jabatan tertentu bagi melihat kemajuan pelaksanaan program sekurang-kurangnya sebulan sekali dan laporan atau maklum balas pemantauan akan dihantar kepada Kerajaan Negeri untuk tujuan pemantauan.
-
Adakah sebarang pertandingan kawasan terbersih di kalangan PBT-PBT?
Untuk makluman,Program Zon Bersih ini akan dinilai dan diberi pemarkahan oleh Kerajaan Negeri selepas setahun pelaksanaannya iaitu bermula Jun 2009 hingga Jun 2010 di mana pemilihan zon terbersih dan terbaik akan diberi pengiktirafan pada tahun hadapan. Panel Penilai yang terdiri daripada Ahli Majlis, Pegawai SUK dan Pegawai PBT akan turun membuat lawatan ke setiap PBT bagi memantau perubahan dan pelaksanaan yang telah dilakukan oleh pihak PBT.
-
Apakah kesan positif hasil dari kempen kebersihan ini?
Kerajaan Negeri berharap dengan adanya kempen atau program zon bersih seperti ini secara langsung dapat memupuk dan menanam sifat mencintai kebersihan di kalangan penduduk khususnya. Penglibatan dari semua pihak seperti NGO dan PBT dapat dipertingkatkan selain memberi banyak pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan melalui kempen-kempen atau program yang dijalankan seperti gotong-royong, program kitar semula,pameran kesihatan, program pengindahan landskap dan sebagainya. Program Zon Bersih ini adalah sebagai langkah awal untuk menerapkan kesedaran kepada komuniti betapa pentingnya amalan menjaga kebersihan persekitaran.