Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

69) POLISI BERKAITAN DENGAN ALAM SEKITAR

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah polisi-polisi baru yang telah dilahirkan oleh Kerajaan Negeri berkaitan dengan topik Alam Sekitar?

    Kerajaan Negeri amat menitikberatkan isu-isu berkaitan alam sekitar selari dengan arus pembangunan negeri. Pelbagai program penghijauan dan pemuliharaan alam sekitar telah dijalankan dalam memastikan alam sekitar terpelihara.  Bagi memastikan kelestarian alam sekitar di negeri Selangor, polisi-polisi yang telah dilaksanakan dan digunapakai oleh Kerajaan Negeri berkaitan dengan alam sekitar adalah:

     

    1. Cadangan Pengurangan Penggunaan Beg Plastik dan Polisterina Di Negeri Selangor. Dasar ini menggariskan panduan dalam pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik secara percuma oleh pengguna di premis-premis perniagaan seperti pasar raya, pasar raya besar, dan mini mart. Dasar ini turut melarang penggunaan bekas polisterina di negeri Selangor dalam usaha Kerajaan Negeri memelihara persekitaran agar lebih bersih dan selamat.
    2. Cadangan Pengurangan Penggunaan Straw Plastik Di Negeri Selangor bertarikh 24 Jun 2019. Pekeliling ini adalah terpakai kepada semua peniaga di restoran dan premis makanan/ minuman di Negeri Selangor. Dasar ini melarang pemberian straw plastik secara automatik (‘default’) kepada pelanggan dan straw plastik hanya dibekalkan atas permintaan.
    3. Kerajaan Negeri turut menggunapakai polisi Penanaman Sejuta Pokok 2021-2025 yang diterajui oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bersama-sama Jabatan Perhutanan Negeri. Ianya memastikan komitmen negeri untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi dengan kawasan berhutan dan pokok-pokok dapat dicapai.
    4. Dasar Kelestarian Alam Sekitar 2020-2030 yang diterajui oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) juga dijadikan sebagai sumber rujukan Kerajaan Negeri bagi menyokong inisiatif-inisiatif yang digariskan agar alam sekitar dapat ditadbir urus dengan baik.

Lampiran

Tiada Lampiran.