Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
215) PJD LINK
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini cadangan lebuh raya PJD-Link?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui kenyataan media oleh Y.A.B. Dato’ Menteri Besar pada 31 Julai 2023 tidak berhasrat untuk meneruskan dengan cadangan pembinaan lebuhraya PJD Link.
Lanjutan daripada kenyataan media tersebut, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengadakan satu Mesyuarat Halatuju Cadangan Projek Lebuhraya PJD Link pada 9 Ogos 2023 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KKR. Pengerusi mesyuarat memutuskan untuk pihak syarikat meneruskan pelaksanaan obligasi syarikat dan melengkapkan syarat-syarat yang diminta seperti yang terkandung dalam perjanjian yang akan tamat pada Februari 2024. Setelah dipinda, perkara ini perlu diangkat semula kepada Kerajaan Negeri untuk arahan yang selanjutnya.
PlanMalaysia@Selangor telah mengadakan Mesyuarat Panel Penilai Laporan Impak Sosial (SIA) Bil. 20/2023 pada 18 Mei 2023 telah membuat pertimbangan terhadap Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) bagi Cadangan Projek Lebuhraya PJD Link dan membuat keputusan menangguhkan kelulusan Laporan SIA disebabkan perkara berikut:
- Pihak penggerak projek disaran untuk menyemak semula jajaran yang dicadangkan terutamanya di Segmen 1 dan Segmen 2;
- Pihak perunding hendaklah melihat semula cadangan Langkah mitigasi di dalam Jadual SIMP dan diperincikan bagi setiap segmen; dan
- Pihak perunding diminta mengemukakan Laporan SIA yang telah dipinda dengan mengambilkira ulasan-ulasan yang dibangkitkan di dalam Mesyuarat dan hendaklah diserahkan kepada panel pakar melalui urus setia untuk diteliti dan disemak. Pembentangan semula laporan SIA adalah tertakluk kepada ulasan panel pakar dan merujuk penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh perunding.
PlanMalaysia@Selangor telah mengadakan satu Mesyuarat Panel Penilai Laporan Impak Sosial (SIA) Peringkat Negeri Selangor Bil. 4/2023 pada 6 Oktober 2023 telah bersetuju dan memperakukan Laporan Pindaan dengan mengambil kira perkara-perkara berikut;
- Perunding hendaklah sentiasa mengadakan rundingan (Engagement) dari semasa ke semasa bersama penduduk-penduduk bagi kawasan yang menerima impak secara langsung dan tidak langsung;
- Memastikan Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang dinyatakan di dalam laporan mengikut segmen jajaran dan melihat semula kesesuaian penggunaan formula yang digunakan di dalam laporan bagi cadangan Projek Pembangunan Infrastuktur ini; dan
- Perunding diminta mengemukakan empat (4) salinan Laporan SIA yang telah dipinda berserta salinan Softcopy dengan mengambil kira ulasan oleh Panel-Panel Pakar serta agensi teknikal di dalam mesyuarat dan diserahkan kepada urusetia untuk disemak semula sebelum surat kelulusan Laporan SIA ini dikeluarkan.
Sehingga kini Pihak PJD Link belum mengemukakan Laporan Akhir yang telah dipinda dan mematuhi perkara di atas.
-
Adakah pihak syarikat ada membuat rayuan kepada Kerajaan Negeri?
Sehingga kini, pihak syarikat tiada membuat rayuan kepada Kerajaan Negeri dan hanya meneruskan pelaksanaan obligasi syarikat dan memenuhi ketetapan syarat duluan yang termaktub di dalam perjanjian konsesi.