Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

32) PJD LINK

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini permohonan untuk pembinaan projek lebuhraya PJD-Link?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Cadangan Projek Petaling Jaya Dispersal Elevated Highway (PJD Link), merupakan cadangan lebuhraya baharu yang bertujuan untuk menyuraikan kesesakan trafik bagi kawasan Bandaraya Petaling Jaya dengan menyediakan sambungan utama kepada semua jalan raya dan lebuhraya sedia ada di sekitarnya. Projek ini melibatkan sambungan (connectivity) kepada enam (6) lebuhraya sedia ada dan akses kepada lima (5) laluan rel utama bagi mencapai objektif untuk menyuraikan trafik. Cadangan ini juga telah mengambil kira sambungan kepada sistem pengangkutan awam serta sesi libat urus yang telah diadakan bersama pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

    Untuk makluman dan penjelasan status pelaksanaan PJD Link di peringkat Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah sedia maklum bahawa PJD Link telah mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri pada 12 November 2017.

    Pada tahun 2020, satu Kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertarikh 09 September 2020 iaitu kertas EXCO-MTES No. 1/20/2020 yang telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke-34/2020 pada 30 September 2020 telah menimbangkan dan bersetuju secara dasar cadangan pelaksanaan Projek Petaling Jaya Traffic Dispersal Link (PJD Link) yang mengambil kira perkara-perkara berikut:

    1. Mengambil maklum cadangan PJD Link melibatkan:
    • Pembinaan lebuhraya empat (4) lorong dua (2) hala (dual two carriageway) bertingkat sepenuhnya (fully elevated) sepanjang 34.3 km, merangkumi pembinaan jalan utama (mainline) sepanjang 12.5 km dan tanjakan (ramp) sepanjang 21.8 km bermula di Plaza Tol NKVE (Damansara) dan berakhir di Lebuhraya Bukit Jalil (Bandar Kinrara);
    • Cadangan jajaran PJD Link akan menggunakan rizab jalan dan rizab sungai sedia ada; dan
    • Lapan (8) persimpangan bertingkat akan dibina di sepanjang jajaran lebuhraya.
    1. Bersetuju projek PJD Link ini dilaksanakan mengikut tatacara pemprosesan permohonan secara rundingan di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172);
    2. Bersetuju bahawa pihak konsesi perlu melaksanakan Penilaian lmpak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment) dan Kajian lmpak Sosial (Social Impact Assessment) bagi pelaksanaan projek ini;
    3. Bersetuju supaya pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengadakan perbincangan lanjut dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi penyelarasan pembinaan Projek PJD Link dengan pembangunan yang telah diluluskan di peringkat MBPJ di kawasan rizab sungai;
    4. Bersetuju bahawa dengan adanya pembinaan Projek PJD Link ini, maka memerlukan pindaan kepada Rancangan Tempatan Petaling Jaya.
    5. Bersetuju supaya proses pengambilan balik tanah hendaklah diselesaikan terlebih dahulu. Pejabat Tanah dan Daerah Petaling akan membantu menyegerakan proses tersebut di bawah Dasar 100 Hari.
    6. Bersetuju supaya pihak LLM mengkaji cadangan Kerajaan Negeri untuk penyediaan bypass di kawasan Bukit Jalil ke Lebuhraya PJD Link ini; dan
    7. Mengambil maklum pembangunan PJD Link akan memberi impak kepada aliran dan naik taraf Sungai Damansara memandangkan 2.5 km daripada jajaran lebuhraya ini berada di atas rizab sungai dengan pembinaan maksimum sehingga ke sempadan rizab sungai. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mencadangkan supaya penyelenggaraan sungai diserahkan kepada pihak konsesi. Kerajaan Negeri juga mencadangkan supaya konsesi membuat kajian awal aliran sungai.

    Pada 9 Februari 2022 Kerajaan Negeri melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor dan  Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 6/2022 pada 16 Februari 2022 telah meluluskan dan mengesahkan penerimapakaian Carta Alir Proses Perancangan Pembangunan Lebuhraya dan Infrastruktur Utama di Negeri Selangor. Oleh itu bagi melancarkan proses kelulusan, adalah wajar cadangan PJD Link ini mematuhi Carta Alir Proses Perancangan Pembangunan Lebuhraya dan Infrastruktur Utama di Negeri Selangor.

    Perjanjian Konsesi yang telah ditandatangani di antara Pihak PJD Link dengan Kerajaan Persekutuan pada 5 April 2022 telah meletakkan syarat duluan supaya pihak syarikat melaksanakan Environment Impact Assessment (EIA), Social Impact Assessment (SIA) dan Traffic Impact Assessment (TIA) terlebih dahulu sebelum perjanjian ini menjadi efektif dan projek boleh dimulakan.  Oleh itu cadangan PJD Link ini masih belum boleh dimuktamadkan di peringkat Negeri Selangor kerana sehingga kini masih tiada kajian EIA, SIA dan TIA dilaksanakan oleh pihak PJD Link dan ianya perlu dibentangkan kepada MTES dan disahkan oleh MMKN termasuk penyelesaian perihal tanah.

  2. Butirkan semua mesyuarat yang telah diadakan tahun ini berkaitan lebuhraya ini?

    Mesyuarat yang telah diadakan pada tahun ini berkaitan dengan lebuhraya PJD Link adalah seperti berikut:

    1. Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Lebuhraya Dan Projek Infrastruktur Di Dalam Negeri Selangor Bil. 1/2022 pada 25 April 2022 yang dipengerusikan oleh EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam.
    • Pihak LLM memaklumkan mengenai status terkini Rundingan Teknikal termasuk Rundingan Kos Projek yang telah dimuktamadkan melalui Laporan Kos Projek Cadangan Lebuhraya PJD Link oleh LLM pada Januari 2022. Pihak PJD Link telah menandatangani Perjanjian Konsesi pada 5 April 2022.
    • Pengerusi memaklumkan pihak konsesi perlu menyediakan Laporan SIA yang komprehensif dan mengambil kira setiap bantahan yang diterima. Beliau juga melihat jajaran yang dikemukakan adalah sama dengan KIDEX sebelum ini. YB. Pengerusi juga memaklumkan bahawa selain Laporan SIA dan Laporan TIA, Laporan EIA juga perlu dikemukakan dan dibentangkan diperingkat kerajaan negeri untuk diteliti sebelum membuat sebarang keputusan.
    1. Perbincangan berkaitan pelaksanaan dan penyediaan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) pada 25 Mei 2022 yang dipengerusikan oleh Ketua Penolong Pengarah, PLANMalaysia@Selangor.
    • Perbincangan diadakan bersama dengan syarikat PJD Link Sdn. Bhd. PLANMalaysia@Selangor mengesyorkan pihak syarikat untuk membentangkan status cadangan lebuhraya ini kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Lebuhraya Dan Projek Infrastruktur di dalam Negeri Selangor dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES).
    1. Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Lebuhraya Dan Projek Infrastruktur Di Dalam Negeri Selangor Bil. 2/2022 pada 12 September 2022 yang dipengerusikan oleh EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam.
    • Pembinaan cadangan lebuh raya bertingkat sepenuhnya (Fully Elevated) sepanjang 34.3 km ini bertujuan untuk mengurangkan waktu perjalanan di antara Damansara dan Kinrara dan menyediakan laluan alternatif untuk memudahkan pengguna bergerak dari origin dan destination yang sama berbanding menggunakan laluan yang sedia ada.
    • Kelulusan Prinsip dari Jemaah Menteri diperolehi pada 12 September 2017. Kelulusan Dasar di peringkat MTES pada 5 Oktober 2020 telah bersetuju secara dasar akan pelaksanaan projek ini. Status semasa berkenaan Rundingan Teknikal melibatkan perundingan kos projek dan deraf Perjanjian Konsesi (CA) dan Technical Appendix (TA) telah dimuktamadkan pada Januari 2022. Pihak PJD Link telah menandatangani CA pada 5 April 2022. Dalam masa yang sama juga pihak PJD Link dalam proses memenuhi Condition Precedents (CP) dalam tempoh 12 bulan bagi membolehkan CA efektif dan berkuat kuasa, dan CP antaranya adalah financial capacity, paid-up capital, TIA, SIA, EIA dan maklumat syarikat.
    • Wakil PJD Link memaklumkan bahawa berlaku sedikit perubahan kepada jajaran seperti mana yang telah diluluskan di dalam CA dan dimuktamadkan sebelum laporan SIA disediakan. Mesyurat bersetuju pihak PJD Link menggunakan jajaran yang telah dimuktamadkan untuk penyediaan SIA.
    • YB. Pengerusi menegaskan bahawa permohonan ini perlu menyediakan dan mendapatkan kelulusan berkenaan Laporan SIA, TIA dan EIA terlebih dahulu serta menyelesaikan isu-isu bantahan yang dihadapi di kawasan yang berkenaan sebelum permohonan ini dibawa ke MTES.

Lampiran

Tiada Lampiran.