Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

28) PJD LINK

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini projek pembinaan PJD Link?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Cadangan Projek Petaling Jaya Dispersal Elevated Highway (PJD Link), merupakan cadangan lebuhraya baharu yang bertujuan untuk menyuraikan kesesakan trafik bagi kawasan Bandaraya Petaling Jaya dengan menyediakan sambungan utama kepada semua jalan raya dan lebuhraya sedia ada di sekitarnya. Projek ini melibatkan sambungan (connectivity) kepada enam (6) lebuhraya sedia ada dan akses kepada lima (5) laluan rel utama bagi mencapai objektif untuk menyuraikan trafik.

    Cadangan ini juga telah mengambil kira sambungan kepada sistem pengangkutan awam serta sesi libat urus yang telah diadakan bersama pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

    Untuk makluman dan penjelasan status pelaksanaan PJD Link di peringkat Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah sedia maklum bahawa PJD Link telah mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri pada 12 November 2017.

    Pada tahun 2020, satu Kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertarikh 09 September 2020 iaitu kertas EXCO-MTES No. 1/20/2020 yang telah disahkan oleh Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke-34/2020 pada 30 September 2020 telah menimbangkan dan bersetuju secara dasar cadangan pelaksanaan Projek Petaling Jaya Traffic Dispersal Link (PJD Link) yang mengambil kira perkara-perkara berikut:

    1. Mengambil maklum cadangan PJD Link melibatkan:
      • Pembinaan lebuhraya empat (4) lorong dua (2) hala (dual two carriageway) bertingkat sepenuhnya (fully elevated) sepanjang 34.3 km, merangkumi pembinaan jalan utama (mainline) sepanjang 12.5 km dan tanjakan (ramp) sepanjang 21.8 km bermula di Plaza Tol NKVE (Damansara) dan berakhir di Lebuhraya Bukit Jalil (Bandar Kinrara);
      • Cadangan jajaran PJD Link akan menggunakan rizab jalan dan rizab sungai sedia ada; dan
      • Lapan (8) persimpangan bertingkat akan dibina di sepanjang jajaran lebuhraya.

     

    1. Bersetuju projek PJD Link ini dilaksanakan mengikut tatacara pemprosesan permohonan secara rundingan di bawah Seksyen 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172);

     

    1. Bersetuju bahawa pihak konsesi perlu melaksanakan Penilaian lmpak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment) dan Kajian lmpak Sosial (Social Impact Assessment) bagi pelaksanaan projek ini;

     

    1. Bersetuju supaya pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengadakan perbincangan lanjut dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi penyelarasan pembinaan Projek PJD Link dengan pembangunan yang telah diluluskan di peringkat MBPJ di kawasan rizab sungai;

     

    1. Bersetuju bahawa dengan adanya pembinaan Projek PJD Link ini, maka memerlukan pindaan kepada Rancangan Tempatan Petaling Jaya.

     

    1. Bersetuju supaya proses pengambilan balik tanah hendaklah diselesaikan terlebih dahulu. Pejabat Tanah dan Daerah Petaling akan membantu menyegerakan proses tersebut di bawah Dasar 100 Hari

    .

    1. Bersetuju supaya pihak LLM mengkaji cadangan Kerajaan Negeri untuk penyediaan bypass di kawasan Bukit Jalil ke Lebuhraya PJD Link ini; dan

     

    1. Mengambil maklum pembangunan PJD Link akan memberi impak kepada aliran dan naik taraf Sungai Damansara memandangkan 2.5 km daripada jajaran lebuhraya ini berada di atas rizab sungai dengan pembinaan maksimum sehingga ke sempadan rizab sungai. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mencadangkan supaya penyelenggaraan sungai diserahkan kepada pihak konsesi. Kerajaan Negeri juga mencadangkan supaya konsesi membuat kajian awal aliran sungai.

    Pada 9 Februari 2022 Kerajaan Negeri melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 6/2022 pada 16 Februari 2022 telah meluluskan dan mengesahkan penerimapakaian Carta Alir Proses Perancangan Pembangunan Lebuhraya dan Infrastruktur Utama di Negeri Selangor. Oleh itu bagi melancarkan proses kelulusan, adalah wajar cadangan PJD Link ini mematuhi Carta Alir Proses Perancangan Pembangunan Lebuhraya dan Infrastruktur Utama di Negeri Selangor.

    Perjanjian Konsesi yang telah ditandatangani di antara Pihak PJD Link dengan Kerajaan Persekutuan pada 5 April 2022 telah meletakkan syarat duluan supaya pihak syarikat melaksanakan Environment Impact Assessment (EIA), Social Impact Assessment (SIA) dan Traffic Impact Assessment (TIA) terlebih dahulu sebelum perjanjian ini menjadi efektif dan projek boleh dimulakan. Oleh itu

    cadangan PJD Link ini masih belum boleh dimuktamadkan di peringkat Negeri Selangor kerana sehingga kini masih tiada kajian EIA, SIA dan TIA dilaksanakan oleh pihak PJD Link dan ianya perlu dibentangkan kepada MTES dan disahkan oleh MMKN termasuk penyelesaian perihal tanah.

Lampiran

Tiada Lampiran.