Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
85) PJD LINK
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status cadangan projek lebuhraya PJD Link?
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah mengangkat Kertas EXCO berkaitan dengan Cadangan Penswastaan Projek Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang diadakan pada 2 Oktober 2024.
Cabutan Daripada Keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan Ke 28/2024 Yang Diadakan Pada 2 Oktober 2024 Yang Telah Disahkan Oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan Ke 29/2024 Pada 9 Oktober 2024 menimbangkan dan menangguhkan cadangan jajaran baharu Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) untuk semakan lanjut Jawatankuasa Tetap Kemajuan Infrastruktur bersama jabatan/agensi berkaitan ke atas perkara-perkara berikut:
- Menilai objektif asal projek melalui Analisis Kos Faedah (Cost Benefit Analysis) sama ada PJD Link dapat mengurangkan kesesakan trafik di kawasan Petaling Jaya secara keseluruhan.
- Meneliti Penilaian Impak Sosial (SIA) secara terperinci bagi memastikan cadangan jajaran baharu telah menyelesaikan setiap isu-isu bantahan penduduk.
- Meneliti Penilaian Impak Trafik (TIA) dan peratusan penyelesaian penyuraian trafik sekiranya PJD Link diteruskan.
Selanjutnya, cadangan ini hendaklah dibentangkan semula di EXCO MTES dengan menjemput Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri yang berkaitan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, satu mesyuarat penyelarasan bagi cadangan projek ini telah diadakan pada 21 Oktober 2024 yang telah dipengerusikan sendiri oleh YB Infrastruktur dan Pertanian dengan dihadiri oleh wakil daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), PLANMalaysia Selangor dan LLM.
Mesyuarat telah membincangkan cadangan penambahbaikan yang telah LLM kemukakan dan bersetuju agar MBPJ menyemak semula penambahbaikan tersebut. Agensi-agensi yang terlibat juga dipohon agar membuat semak silang berkaitan dengan TIA dan SIA yang dibuat sebelum ini supaya penambahbaikan yang dibuat dapat menyelesaikan isu yang berkaitan. Pembentangan semula ke MTES akan dibuat dengan mengambil kira semua aspek yang berkenaan.
Lanjutan daripada mesyuarat penyelarasan tersebut, MBPJ telah mengadakan satu taklimat pada 29 Oktober 2024 yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar dengan kehadiran LLM dan Syarikat PJD Link Sdn. Bhd. bagi membincangkan cadangan projek ini. Sesi taklimat kedua juga telah diadakan oleh pihak MBPJ pada 10 Disember 2024. Perkara ini masih dalam semakan dan penelitian pihak MBPJ.