Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 April 2010 hingga 14 April 2010
154) PINJAMAN PELAJARAN NEGERI SELANGOR
Tahun: 2010
Sesi: 1
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Yap Lum Chin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah keseluruhan pinjaman yang telah dikeluarkan sehingga kini?
- Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) telah ditubuhkan pada tahun 1987 berpandukan kepada “State of Selangor Enactment No. 4 of 1949” (Enakmen Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor 1949 (Pindaan 2001)). Berdasarkan enakmen tersebut, peruntukan tahunan TKWBNS adalah di bawah pembiayaan Kerajaan Negeri.
Sejak tahun 1988, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM82.8 juta untuk membiayai TKWBNS, di mana sebanyak RM9 juta daripadanya merupakan caruman kepada tabung Pinjaman Pelajaran Tenaga Mahir (Fast Track) Negeri Selangor yang ditubuhkan semenjak tahun 1994. Bagi tahun 2010 pula, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM8.1 juta bagi aktiviti biasiswa dan pinjaman pelajaran di bawah TKWBNS.
Jumlah pelajar yang telah menerima kemudahan pembiayaan daripada TKWBNS setakat 31 Disember 2009 adalah seramai 12,800 orang, melibatkan jumlah pinjaman sebanyak RM104.2 juta. Pecahan pinjaman pelajaran yang telah ditawarkan mengikut peringkat pengajian adalah seperti berikut:
- Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor
Bil. Peringkat Pengajian Bil. Pelajar Amaun (juta) 1. Ijazah 3,999 RM54.5 2. Diploma 4,944 RM33.1 3. Sijil (IPTA) 889 RM5.1 Jumlah Keseluruhan 9,832 RM92.7 - Pinjaman Pelajaran Tenaga Mahir (Fast Track) Negeri Selangor
Bil. Peringkat Pengajian Bil. Pelajar Amaun (juta) 1. Sijil (IPTS) 2,968 RM11.5 -
Apakah rancangan kerajaan negeri bagi mewujudkan biasiswa untuk pelajar-pelajar miskin yang cemerlang yang ingin melanjutkan pelajaran?
- TKWBNS mempunyai dua (2) jenis tabung yang memberi kemudahan pinjaman pelajaran kepada anak-anak Negeri Selangor dan mereka yang layak setelah dipertimbangkan oleh Lembaga Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (LTKWBNS). Bentuk tabung pinjaman yang disediakan adalah seperti berikut:
- Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor
Tabung ini menyediakan kemudahan pinjaman pelajaran untuk pelajar-pelajar yang menuntut di IPT dalam negara (IPTA/ IPTS) dan IPT luar negara bagi pengajian di peringkat Sijil/ Diploma/ Ijazah.
- Pinjaman Pelajaran Tenaga Mahir (Fast Track) Negeri Selangor
Tabung ini menyediakan kemudahan pinjaman pelajaran kepada pelajar-pelajar yang menuntut di IPTS bagi kursus-kursus yang berkaitan dengan bidang teknikal dan kemahiran di peringkat Sijil.
Melalui pinjaman pelajaran yang disediakan, TKWBNS turut menawarkan kemudahan Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah kepada pelajar-pelajar yang telah menamatkan pengajian dengan pencapaian cemerlang di IPTA/ IPTS dalam negara.
Sejak dasar tersebut dikuatkuasakan bermula pada 1 Januari 2003 sehingga 31 Disember 2009, seramai 428 peminjam telah pun mendapat kelulusan LTKWBNS untuk ditawarkan kemudahan Pinjaman Pelajaran Boleh Ubah dengan melibatkan pelupusan pinjaman secara biasiswa berjumlah RM2,944,540.14.